Monday, 10 October 2011

PEREMPUAN TIDAK BERASAL DARIPADA TULANG RUSUK

Muhammad Hanief bin Awang Yahaya
 
 
Kita sering mendengar cerita bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Adam. Sehingga terdapat ungkapan yang mengatakan wanita dijadikan daripada tulang rusuk supaya yang dekat dengan hati dan supaya sering didampingi serta diingati dan bermacam-macam lagi. Begitu juga, hampir semua kitab-kitab tafsir menyebutkan kisah penciptaan Hawa dan menjadi asas kepada ulama tafsir ketika menjelaskan maksud ayat pertama surah al-Nisa’. (Sila lihat Tafsir at-Tabari, Tafsir al-Baidhawi, al-Kahzin dan lain-lain)

Kenyataannya ialah tidak ada satupun ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. yang jelas menyebutkan hakikat kejadian Hawa. Al-Quran tidak menyebutkan Hawa dicipta daripada Adam tetapi manusia itu dicipta daripada jiwa yang satu. Apa yang disebutkan di dalam al-Quran ialah manusia itu diciptakan daripada jenis yang sama dengannya juga. Seorang manusia tentunya ibu bapanya manusia juga bukan makhluk yang lain.

Abu A`la al-Mawdudi menulis komentar bagi ayat pertama surah al-Nisa’ ini: “Umumnya para pentafsir al-Quran menyebutkan Hawa dicipta daripada tulang rusuk Adam dan Bible juga menyebutkan perkara yang sama. Kitab Talmud pula menambah bahawa Hawa diciptakan daripada tulung rusuk Adam yang ketiga belas. Tetapi al-Quran tidak menyentuh langsung perkara ini dan hadis-hadis yang dipetik untuk menyokong pandangan ini mempunyai makna yang berbeza dari yang sering difahami. Oleh itu, perkara yang terbaik ialah membiarkan perkara yang tidak dijelaskan seperti yang terdapat dalam al-Quran dan tidak perlu membuang masa bagi menentukan perinciannya.” ( The Meaning of The Quran, jil. 2 hal. 94)

Menurut al-Mawdudi, hadis-hadis Rasulullah s.a.w. tidak menyatakan perkara yang sebagaimana yang tersebar dalam   masyarakat Islam iaitu sebenarnya tidak ada satupun hadis baginda s.a.w yang menerangkan asal- usul kejadian Hawa.

Kaedah yang sebenar ialah tidak perlu memberatkan diri dalam menentukan perkara yang Allah s.w.t. tidak menyatakan dengan terang dan jelas. Contohnya, apabila Allah s.w.t. menyebutkan cerita tentang bahtera Nabi Nuh tidak perlu bagi kita untuk menentukan apakah saiz dan kapasitinya atau bahan buatannya. Perincian itu bukan menjadi maksud penurunan al-Quran. Apa yang penting ialah menjadikan peristiwa tersebut sebagai iktibar dab pengajaran. Dengan kata lain, al-Quran bukan kitab sejarah atau sains tetapi kitab yang memberi panduan hidup kepada manusia supaya selamat di dunia dan akhirat.

Dalam hal ini Shah Waliyullah menyebutkan dengan jelasnya. Kata beliau ketika mengulas kisah-kisah yang diceritakan oleh al-Quran: “Bukanlah maksud cerita-cerita di dalam al-Quran untuk mengetahui cerita itu sendiri. Maksud sebenarnya ialah  supaya pembaca memikirkan betapa bahayanya syirik dan kemaksiatan serta hukuman Allah hasil dari perbuatan syirik  itu  di samping menenangkan hati orang-orang yang ikhlas dengan tibanya pertolongan dan perhatian Allah kepada mereka” (al-`Fawz al-Kabir Fi Usul al-Tafsir, hal. 138)

Mengapa Berlaku Kekeliruan Tentang Kejadian Hawa Ini?

Ada beberapa faktor mengapa berlaku kekeliruan dalam memahami makna sebenar ayat ini:

1. Berpegang Dengan Riwayat Israiliyyat

Fasal yang kedua di dalam Sifr al-Takwin menyebutkan Hawa diciptakan daripada tulang rusuk kiri  Nabi Adam ketika baginda sedang tidur. (Tafsir al-Manar, jil. 4, hal. 268.)  Disebabkan ada riwayat dalam kitab-kitab yang dahulu, ahli-ahli tafsir terus menganggap ia sebagai sokongan atau pentafsiran kepada al-Quran. Bagaimana mungkin ayat al-Quran ditafsirkan dengan riwayat Israiliyyat walhal penurunan kitab-kitab nabi terdahulu lebih awal lagi daripada al-Quran. Sepatutnya, kitab yang turun kemudianlah yang menjelaskan kitab-kitab yang terdahulu.

Hadis berkenaan perkara ini mempunyai beberapa versi. Antaranya ialah;
 
1.      Perempuan itu diciptakan daripada tulang rusuk
2.      Perempuan seperti tulang rusuk.
3.      Perempuan adalah tulang rusuk.


2. Mengkhususkan Keumuman Hadis Tanpa Nas Yang Jelas

Antara kesilapan dan kekeliruan ialah mengkhususkan lafaz hadis yang menyebut perempuan kepada Hawa. Hadis-hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. semuanya dengan jelas menyatakan perempuan dalam bentuk tunggal atau jamak dan tidak ada yang menyebutkan Hawa secara khusus. Jelasnya, para pentafsir  menyangka wanita dalam hadis tersebut adalah Hawa tanpa berdasarkan kepada nas yang lain yang menentukan makna yang dikehendaki oleh Rasulullah s.a.w. itu.

3. Kesilapan Memahami Kata Sendi Nama Min من

Walaupun perkataan min itu memberi erti “daripada”, “punca sesuatu perkara” atau “sebahagian”, kata sendi nama min juga mempunyai makna lain seperti “untuk menyatakan sebab” dan “menyatakan jenis sesuatu perkara”. Oleh itu, pemakaian huruf ini dalam bahasa Arab adalah luas dan tidak semestinya terikat dengan satu makna sahaja. (lihat, Ibn Hisyam, Mughni al-Labib, jil. 1, hal. 319)

Abu Muslim al-Asfahani mengatakan, maksud menciptakan daripadanya pasangannya ialah menciptakannya dari jenisnya. (lihat Hasyiah Zadah `Ala al-Baidhawi) Ini seperti ayat-ayat al-Quran berikut:

وَمِنْ آَيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Surah al-Rum: 21)

فَاطِرُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَمِنَ الْأَنْعَامِ أَزْوَاجًا يَذْرَؤُكُمْ فِيهِ لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
 
Dialah yang menciptakan langit dan bumi; Dia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkanNya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya dan pentadbiranNya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (Surah al-Syura: 11)

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَجَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ بَنِينَ وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ 

Dan Allah telah menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagi kamu daripada pasangan-pasangan kamu anak-anak dan cucu dan memberikan rezki kepada kamu daripada benda-benda yang baik. (Surah al-Nahl: 72)

Ayat-ayat ini tidak boleh difahami sebagai isteri-isteri kita itu diciptakan daripada diri atau jasad kita tetapi mestilah difahami sebagai “mereka itu dari jenis yang sama dengan kita”.




لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari jenis kamu, yang amat berat baginya kesusahan kamu, sangat berharap akan keimanan kamu dan sangat kasih serta menyayangi kepada orang-orang yang beriman. (Surah al-Taubah:128)

لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آَيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

Sesungguhnya Allah s.w.t. telah memberikan kurniaan yang besar kepada orang-orang yang beriman ketika Dia mengutuskan seorang rasul kepada mereka dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan Kitab dan Hikmah. Sesungguhnya mereka sebelum itu berada di dalam kesesatan yang nyata. (Surah Ali Imran: 164.)

Kedua-dua ayat ini dengan jelasnya menyebutkan Rasulullah s.a.w. yang diutuskan kepada kita adalah dari kalangan manusia yang sama seperti kita bukan dari kalangan makhluk yang lain seperti malaikat.

Dengan itu, hadis ini ditafsirkan sebagai sifat dan perasaan perempuan itu daripada jenis yang mudah  bengkok.

عن أبي هريرة عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: (من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فلا يؤذي جاره واستوصوا بالنساء خيرا، فإنهن خلقن من ضلع، وإن أعوج شيء في الضلع أعلاه، فإن ذهبت تقيمه كسرته، وأن تركته لم يزل أعوج، فاستوصوا بالنساء خيرا).

Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya dan hendaklah dia menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana sesungguhnya mereka diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok ialah yang paling atas, jika kamu berusaha untuk membetulkannya kamu akan mematahkannya, jika kamu terus biarkan begitu ia akan terus bengkok. Oleh itu terimalah pesanan supaya menjaga wanita-wanita dengan baik. (Hadis riwayat al-Bukhari no: 4890)


عن أبي هريرة: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: (المرأة كالضلع، إن أقمتها كسرتها .

Perempuan itu seperti tulang rusuk. Jika kamu ingin memperbetulkannya kamu akan mematahkannya. (Hadis riwayat al-Bukhari4889).

Hadis ini telah dikemukakan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab al-Nikah bab berlembut dengan wanita. Tujuan al-Bukhari mengemukakan hadis ini ialah untuk menyatakan sifat fitrah wanita bukannya hakikat  kejadian mereka. Apakah tubuh atau jasad wanita akan mudah patah apabila dikasari oleh orang lain? Tentu sekali tidak.

عن أبي هريرة. قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن المرأة كالضلع. إذا ذهبت تقيمها كسرتها. 

Sesungguhnya perempuan itu seperti tulang rusuk. Jika kamu ingin memperbetulkannya kamu akan mematahkannya. (Hadis riwayat Muslim no: 1468.)

Hadis ini lebih jelas lagi menyatakan sifat perempuan itu seperti tulang rusuk bukan diciptakan daripada tulang rusuk. Penggunakan partikel kaf  ك ini bagi menyatakan persamaan antara perempuan dan tulang rusuk. Sementara ayat yang kedua merupakan sudut persamaan antara kedua-duanya.

Kecenderungan Imam al-Bukhari ketika membuat Tarjamatul Bab di dalam Sahihnya, iaitu:

باب: المداراة مع النساء، وقول النبي صلى الله عليه وسلم: (إنما المرأة كالضلع).

Bab berlembut dengan wanita dan Sabda Nabi s.a.w.: Sebenarnya perempuan itu seperti tulang rusuk.

Dengan membuat tajuk begini Imam al-Bukhari tidaklah berpendapat bahawa Hawa itu dijadikan daripada tulang rusuk kiri  Nabi Adam.

Begitu juga di dalam al-Adab al-Mufrad, Imam al-Bukhari mengemukakan riwayat:

إن المرأة ضلع , وإنك إن تريد أن تقيمها تكسرها

Sesungguhnya perempuan itu tulang rusuk. Jika kamu mahu untuk meluruskannya maka kamu akan mematahkannya. (al-Adab al-Mufrad, no: 747)

Apakah hadis ini menyatakan hakikat perempuan itu sebenarnya tulang rusuk? Tentu sekali  tidak. Hadis ini merupakah satu bentuk tasybih atau perumpamaan yang mempunyai nilai balaghah atau retorik yang tinggi di mana perkataan yang menyatakan persamaan tidak digunakan begitu juga sudut keserupaan tidak disertakan. Ayat yang kedua boleh juga dikatakan sebagai bukti bahawa perkataan tulang rusuk tidak difahami secara harfiah.

Sokongan Kepada Penafsiran Ini

Penafsiran min bukan dengan makna punca atau asal-usul sesuatu adalah sesuai hadis berikut:

عن أبي قلابة، عن أنس رضي الله عنه: أن النبي صلى الله عليه وسلم كان في سفر، وكان غلام يحدو بهن يقال له أنجشة، فقال النبي صلى الله عليه وسلم: (رويدك يا أنجشة سوقك بالقوارير). قال أبو قلابة: يعني النساء    .

Daripada Abu Qilabah daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. berada dalam satu perjalanan. Ada seorang budak yang dikenali dengan Anjisyah menarik unta yang ditunggangi oleh wanita-wanita. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: Wahai Anjisyah! Perlahankanlah kerana yang kamu tarik itu ialah botol-botol kaca. Perawi, Abu Qilabah, berkata: Maksudnya ialah wanita-wanita. (Hadis riwayat al-Bukhari no: 5857.)

Rasulullah s.a.w. menggambarkan wanita sebagai golongan yang lembut dari segi perwatakan dan cukup sensitif. Baginda menyebutkan wanita seperti botol-botol kaca yang mudah pecah jika tidak dijaga dan diberi perhatian.

Kesimpulan

Hadis ini perlu difahami secara balaghah iaitu berdasarkan retorik bahasa Arab. Rasulullah s.a.w. menyampaikan pesanan ini dalam bentuk tasybih (perumpamaan) supaya maksud pesanan difahami dengan lebih mendalam. Tegasnya, supaya pendengar lebih peka dan prihatin bukan memberi perhatian  kepada makna harfiah. Rasulullah s.a.w. membuat perumpamaan wanita seperti tulang rusuk bukan bermaksud untuk merendahkan kedudukan mereka tetapi sebagai peringatan kepada kaum lelaki supaya memberi perhatian kepada mereka, melayani mereka dengan baik, mendidik dan menjaga hati mereka. Sama seperti lelaki, wanita sama-sama berperanan untuk menegakkan agama dan menguruskan hal ehwal kehidupan. Dengan pemahaman yang betul tentang hadis-hadis ini maka tertolaklah anggapan bahawa wanita adalah dari kelas kedua  kerana kononnya dijadikan daripada orang lelaki iaitu Adam!

Sumber Daripada : Ustaz Mujiburrahman Ahmad Hafiz
 

Saturday, 8 October 2011

ISRAILIYYAAT: PENGENALAN DAN KAEDAH PENGECAMANNYA

OLEH: DOKTOR AHMAD NAJIB BIN ABDULLAH

Muqaddimah :

Asas pembinaan dalam Islam ialah al-Quran dan as-Sunnah. Kedua-dua sumber terpenting ini mesti diletakkan di hadapan dan dijadikan rujukan kerana al-Quran adalah dari Allah SWT, manakala as-Sunnah Sohihah pula bersandarkan persabdaan nabi SAW yang dibimbing wahyu Allah.

          Kefahaman yang betul tentang  al-Quran dapat diperolehi menerusi Manhaj Tafsir yang digariskan ulamak berdasarkan ciri-ciri dan syarat-syarat yang ditentukan. Antaranya, meletakkan Tafsir Bil-Ma’tsur (Tafsir berdasarkan hadis dan riwayat) sebagai asas Tafsir, disusuli dengan Tafsir Bil ra’yi yang selari dengan kehendak syara’.

          Penguasaan dalam bidang Usul Hadis dan pengajian hadis amat mustahak bagi memahami Tafsir Bil-Ma’sur. Tanpa pengetahuan mendalam dalam bidang hadis amat sukar bagi seseorang itu memahami Tafsir Bil-Ma’sur.

          Israiliyyat adalah isu yang berkait rapat dengan Tafsir Bil Ma’sur kerana ia berkembang melalui periwayatan. Kewujudannya di celah-celah tafsiran al-Quran boleh menimbulkan bahaya tanpa disedari khususnya Israiliyyat yang bersifat merosakkan aqidah seseorang. Dalam banyak hal ia boleh menghalang seseorang dari memahami dan menghayati al-Quran.

          Isu Israiliyyat perlu ditangani menerusi pemahaman yang betul tentang zat Israiliyyat itu sendiri, pembahagiannya serta cara atau pun kaedah bagi mengenal pasti atau mengenal Israiliyyat. Untuk tujuan itu, kertas ini dikemukakan.


Pengenalan :

Pengenalan Israiliyyat sebagaimana yang dinyatakan oleh Doktor Muhammad Husin az-Zahabi rahimahullah: “lafaz Israiliyyaat- pada zahir adalah lafaz yang jama’, lafaz mufradnya Israiliyyat. Ia adalah kisah atau peristiwa yang dinukilkan dari sumber Israiliyyi dinisbahkan kepada Israiliyyat iaitu Nabi Ya’qub bin Ishak bin Ibrahim. Kepadanyalah dinisbahkan bangsa Yahudi, lalu dikatakan “ Bani Israil” (Az-zahabi , Doktor Muhammad Husin, al-Israiliyyaat dalam Tafsir dan Hadis,  muka surat 19)

          Menurut Doktor Zahabi ulamak tafsir dan hadis  telah memperluaskan pengertian Israiliyyat daripada hanya berkisar tentang cerita yang bersumberkan Yahudi kepada apa jua yang dianggap tidak berasas samada ia berbentuk dongeng dahulu kala ( sebahagian ulamak melabelkannya الدّخيل ) yang boleh jadi asalnya adalah dari sumber Yahudi atau Nasrani atau sumber-sumber lain (Ibid., muka surat 19-20). Oleh kerana kebanyakan cerita yang diterima bersumberkan sumber Yahudi, maka lafaz Israiliyyat lebih sesuai digunakan.

          Pengenalan atau definisi Israiliyyat yang dikemukakan oleh Doktor Zahabi amat penting kerana beliau dikira tokoh utama yang membincangkan persoalan berkaitan Israiliyyaat. Sehigga hari ini, saya tidak mendapati seseorang pun yang menulis atau membahaskan isu Israiliyyat melainkan ia terpaksa merujuk kepada tulisan  dan pandangan Doktor Zahabi ( lihat: Doktor Ahmad Najib bin Abdullah. Tesis Ph.D muka surat 16-18.Universiti Islam Madinah)


Perkembangan ringkas Israiliyyat : (lihat, al-Israiliyyaat  dalam  Tafsir dan Hadis, muka surat 22-38)

Menurut sejarah, orang-orang Yahudi telah pun menetap bersama dengan orang-orang Arab sejak zaman sebelum Islam. Mereka memiliki ilmu pengetahuan yang diambil dari ajaran Kitab Taurat dan buku-buku ugama  mereka yang lain. Orang-orang Arab sering kali bertanya orang-orang Yahudi tentang perkara-perkara yang berhubung sejarah lama berkenaan tokoh, peristiwa dan cerita tertentu.

          Sebahagian sahabat nabi seperti Abu Hurairah dan Abu ‘Abbas r.a ada bertanya ahli kitab Yahudi yang memeluk Islam tentang beberapa perincian cerita terdahulu (Ibid, muka surat 66.التفسير والمفسرون 1/70. Ibnu kasir, البداية والنهاية ,1/17...) tetapi pertanyaan mereka adalah terhad kepada aspek-aspek tertentu, tidak termasuk persoalan akidah. Mereka melakukan demikian kerana mereka faham keharusan yang diberikan nabi SAW dalam meriwayatkan cerita Israiliyyat.

          Di zaman tabi’in, proses periwayatan Israiliyyat menjadi lebih aktif disebabkan kecenderungan masyarakat mendengar  cerita-cerita yang agak luar biasa.

          Apabila datangnya tabi’ tabi’iin periwayatan menjadi lebih serius dengan munculnya golongan  “ القصّاص”(al-Qassas) iaitu penyampai cerita yang tidak bertanggungjawab.

          Era pembukuan karya Islam kemudiannya menyaksikan  bagaimana tafsir al-Quran termuat dicelah-celah tajuk kitab-kitab hadis sebelum ia terpisah dan dapat menentukan  kedudukannya sendiri.

          Pada peringkat awalnya, tafsir al-Quran dipersembahkan dengan lengkap bersanad kemudiannya sanad-sanad yang menghiasi matan-matan riwayat dibuang dengan tujuan untuk meringkaskan dan meringankan saiz kitab-kitab tafsir yang penuh sarat dengan muatan rangkaian perawi itu.

          Justeru terbuangnya sanad, maka riwayat-riwayat tafsir mula menempuh  keadaan yang amat sukar dan bermasaalah  di mana tidak dapat  dipastikan lagi  riwayat yang boleh diterima dan riwayat yang tidak boleh diterima. Dari timbunan riwayat inilah terdapat Israiliyyaat yang akhirnya melengkapi sebahagian besar tafsiran ayat-ayat al-Quran. Ini berlaku bukan sahaja kepada kitab-kitab Tafsir Bil Ma’tsur bahkan menular kepada kitab-kitab Tafsir Birra’yi dengan kadar yang berbeza.

Pembahagian Israiliyyat :

Apabila disebut Israiliyyat pada kebiasaanya ia merujuk kepada riwayat-riwayat Israiliyyat yang bersifat negatif atau yang sukar diterima isinya.

          Merujuk kepada pembahagian ulamak antaranya Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah ( Ibnu Taimiyyah,Muqaddimah dalam Usul Tafsir, muka surat 100) Israiliyyat dapat dibahagikan kepada tiga bahagian:

          Pertama: Israiliyyat yang selari dengan apa yang ada di dalam sumber Islam, al-Quran dan as-Sunnah as-Sohihah. Contohnya: riwayat yang menyebut rakan seperjalanan Nabi Musa a.s ialah Khidir.

          Kedua: Israiliyyat yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah as-Sohihah. Contohnya: cerita malaikat Harut dan Marut yang terlibat  dengan dosa besar. Minum arak, berzina dan membunuh

          Ketiga: Israiliyyat yang tidak dapat dipastikan statusnya  (maskut anhu). Contohnya, riwayat-riwayat yang menyebut bahagian anggota lembu yang diambil untuk memukul si mati dalam kisah bani Israil.


Hukum meriwayatkan Israiliyyat :

Terdapat dua pandangan ulamak dalam masalah ini.

          Pandangan pertama: Tidak harus meriwayatkan Israiliyyat. Antara dalil mereka, hadis nabi S.A.W:
         
ولا تصد قوا  أهل  الكتا ب  و لا  تكذبوهم, وقو لوا  آ منا  بالله  وما  انزل  الينا

          Maksudnya: “ Janganlah kamu mempercayai Ahli Kitab dan janganlah pula mendustai mereka, katakanlah kami beriman kepada Allah dan kepada kitab yang diturunkan kepada kami...” (Al-Bukhari, Sohih Bukhari, hadis nombar 4485)

Hadis ini melarang orang –orang Islam menaruh kepercayaan kepada cerita-cerita Ahli Kitab berkenaan Kitab Taurat dan sebagainya (Az-Zahbi, al-Israiliyyat dalam Tafsir dan hadis, muka surat 55-56).

Pandangan kedua: Harus meriwayatkan Israiliyyat. Antara dalil mereka, hadis nabi S.A.W:

بلغوا عنى ولو  آية,  وحدثوا  عن  بنى اسرائيل  لا حرج, ومن  كذب على  متعمدا  فليتبوأ مقعده  من  النار.
         
          Maksudnya; “Sampaikanlah daripadaku sekalipun satu ayat, riwayatkanlah daripada Bani Israil, tiada salahnya. Sesiapa melakukan pendustaan terhadapku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyiapkan tempatnya dalam neraka(Bukhari, Sohih al-Bukhari, Hadis Nombar 3461)

          Kedua-dua pandangan ini mempunyai dalil dan hajat masing-masing tetapi setelah dibuat penelitian, kedua-dua pandangan tersebut dapat disesuaikan mengikut pertimbangan berikut:

1.                 Al-Quran sendiri banyak menceritakan cerita-cerita Bani Israil dan cerita-cerita tentang umat terdahulu. Ia juga mengisyaratkan keharusan merujuk  kepada Ahli Kitab.

2.                 Nabi S.A.W pula ada menceritakan tentang cerita Bani Israil seperti A-Abros, Al-‘Ama, Al-Akro’ dan cerita A-Ghor.

3.                 Hadis Nabi S.A.W yang mengharuskan periwayatan Israiliyyaat tidak bermaksud bahawa keharusan itu adalah mutlak. Ia terikat kepada apa yang baik atau sesuatu cerita atau perkara yang tidak dipastikan statusnya yang mana ia boleh dianggap benar atau dusta, tetapi tiada petunjuk yang memperlihatkan dusta atau batilnya.

4.                 Riwayat-riwayat Israiliyyat yang jelas dustanya atau yang tidak boleh diterima akal yang waras, maka tidak harus disebarkan melainkan dengan disebut kebatilannya.    


Kaedah mengecam Israiliyyaat :

Bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk mengatakan sesebuah riwayat itu Israiliyyaat atau tidak. Ilmu yang amat mustahak yang tidak dapat tidak mesti dimiliki oleh mereka yang ingin menguasai bidang ini ialah Ilmu Tafsir al-Quran, khususnya yang melibatkan kisah-kisah al-Quran, Ilmu Mustholah Hadis, Ilmu Rijaal Hadis, di samping pengetahuan mendalam tentang hadis-hadis yang sohih dan tidak sohih berkenaan kisah para Nabi dan kisah-kisah lampau.

     Di sini saya cuba menyenaraikan beberapa kaedah atau cara yang boleh membantu bagi mengenal atau mengecam Israiliyyaat. Kaedah ini diperolehi setelah penulis membuat kajian terperinci terhadap ciri-ciri Israiliyyaat yang terdapat di dalam Tafsir At-tobari dengan mengambil kira pandangan ulamak mu’tabar dalam membuat kritikan dalam riwayat-riwayat Israiliyyaat (lihat, Doktor Ahmad Najib Bin Abdullah. Tesis Ph.D, muka surat 40-66.Universiti Islam Madinah)

     Supaya lebih teratur, saya bahagikan cara ini kepada empat sudut , pertama, pengamatan kepada sanad riwayat Israiliyyaat, kedua, pengamatan kepada matannya, ketiga, merujuk kepada  pandangan ulamak yang mu’tabar dalam bidang Israiliyyaat dan keempat, merujuk kepada sumber-sumber Yahudi sendiri.


Pertama: Pengamatan sanad

1.                Rijaal / perawi terkenal dengan meriwayatkan Israiliyyat seperti Abdullah Bin ‘Amar Bin al-‘Ash, Abu Hurairah dan Abdullah Bin Salam dari kalangan sahabat. Dari kalangan tabi’in pula seperti Ka’ab Bin al-Ahbar, Wahab Bin Munabbbih, as-Saiyyidul al-Kabir, Qatadah, al-Hasan al-Basri dan Mujahid manakala dari kalangan golongan tabi’ tabi’in pula seperti Ibnu Ishaq, Ibnu Zaid dan Ibnu Juraih.

2.                Terdapat kenyataan jelas dari perawi menyebut bahawa riwayat yang disampaikan adalah bersumberkan sumber Israiliyyaat.

3.                Sanad riwayat Israiliyyaat kebiasaannya bersifat terhenti “mauquf” kepada sahabat, bukan “marfu’” kepada Nabi S.A.W.



     Kedua: Pengamatan matan

1.                     Persoalan yang disentuh Israiliyyaat biasanya mengenai asal usul kejadian alam serta rahsianya seperti asal usul kejadian langit dan bumi serta cerita “الجوت

2.                     Matan mengandungi kisah para Nabi dan kisah-kisah lampau.

3.                     Perincian kepada kesamaran (mubhamat) iaitu perkara yang tidak dijelaskan al-Quran seperti menentukan jenis pokok larangan dalam syurga yang dilarang Allah kepada Nabi Adam dan isterinya Hawa dan menentukan bahagian anggota lembu yang digunakan untuk memukul si mati dalam kisah bani Israiliyyaaat.

4.                     Matan memperlihatkan “keterlampauan” ketara seperti cerita  salah seorang anak Nabi Adam a.s yang memikul saudaranya yang dibunuh selama seratus tahun, dibawanya kesana kemari sehingga Allah menghantar burung gagak untuk mengajarnya cara menyimpan jenazah saudaranya itu.

5.                     Matan mengandungi perkara-perkara yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah as-Sohihah seperti matan yang menyebut bahawa isteri Nabi Nuh a.s adalah daripada mereka yang selamat dari azab banjir besar.

6.                     Matan mengandungi perkara-perkara yang menyalahi  kesucian “`ashamah” para Nabi dan malaikat seperti dalam cerita keinginan nabi Yusuf terhadap isteri pembesar Mesir yang sampai keperingkat paling kritikal iaitu menangggalkan seluar serta kisah tentang malaikat  Harut dan Marut.

7.                      Matan menyebut cerita-cerita khurafat dan karut seperti cerita gergasi “’Aaj bin ‘Unuq” dan puak “jabbaarin”.

8.                     Matan menceritakan sesuatu yang pelik “gharib” seperti yang menyebut bahawa bilangan alam sebanyak lapan belas ribu atau empat belas ribu.

9.                     Adanya percanggahan fakta pada matan seperti penentuan anggota lembu bani Israil di mana ada yang mengatakan paha, lidah, ekor dan sebagainya.

10.                Terdapat kenyataan di dalam matan menyebut bahawa ia diambil dari sumber Israiliyyaat samada dari Ahli Kitab atau kitab Bani Israil.

11.                Disebut pada matan lafaz-lafaz “tadh’if” atau tamridh yang menjelaskan bahawa ia dianggap lemah.

Ketiga: merujuk kepada ulamak

Ulamak yang banyak membicarakan isu Israiliyyaat seperti:

1.           Ibnu Hazam dalam kitab al-Faslu Fil Milaali Wal Ahwa’i Wan Nihal.

2.                       At-Thobari dalam kitab Jami’ul Bayan Fi Ta’wili Aayil Quran dan Tarikhul Umami Wal Muluk.

3.                       Al-Qodhi ‘Iadh dalam Kitabus Syifaa’ Bita’rifi Huquqil Mustafa.

4.                       Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah dalam kitab An-Nubuwwah dan Al-Jawabus Sahihu Li Man Baddala Diinul Masih.

5.                       Ibnul Qayyim dalam kitab Hidayatul Hiyari Fi Ajwibatil Yahudi Wan Nashora.

6.                       Al-Hafiz Ibnu Katsir dalan kitab tafsirnya dan juga Al-Bidayatu Wan Nihayah.

7.                       Rahimahullah Al-Hindi dalam Izharul Haq.

8.                       Jamaluddin al-Qosimi dalam Mahasinut Ta’wil.

9.           Doktor Muhammad Husin az-Zahabi dalam   Al-Israiliyyaat Fit Tafsir Wal Hadits   dan Kitabut Tafsir Wal Mufassirun.                                      

10.          Al-‘Allamah Abu Syahbah dalam Al-Israiliyyaat Wal Maudhu’at Fi Kutubit. Tafsir.

12.                Syeikh Abdul Wahab an-Najjar dalam Qishoshul Anbiya’.

     

Keempat: Merujuk sumber-sumber Yahudi

Tujuan merujuk kepada sumber-sumber Yahudi tidak bermaksud kita mengiyakan atau membenarkan apa yang termaktub dalam kitab-kitab mereka tetapi sekadar untuk melakukan perbandingan dengan kitab-kitab warisannya ulamak mu’tabar kita dalam soal-soal yang berkaitan dengan Israiliyyaat. Sekiranya ia disebut dalam sumber-sumber berkenaan maka ia meyakinkan kita bahawa ia memang satu riwayat Israiliyyaat.


Sumber-sumber Yahudi seperti berikut :

1.                 Kitab Taurat.

2.                 Talmud.

3.                 Kitab-kitab Yahudi yang lain.

Selain daripada sumber Yahudi terdapat juga sumber Nasrani yang termuat dalam Kitab Injil tetapi Israiliyyaat di dalam sumber Nasrani amat sedikit berbanding sumber Yahudi sendiri.






Penutup :

Israiliyyaat merupakan cerita-cerita berkaitan rapat dengan warisan Yahudi. Ia tersebar melalui berbagai peringkat dan suasana sehingga mampu bertapak di dalam karya warisan Islam, tafsir dan hadis.

          Kehadirannya perlu ditangani dengan sebaik mungkin melalui pengkelasan yang wajar berdasarkan pembahagian ulamak terhadap Israiliyyaat.

          Tiada jalan pilihan bagi kita melainkan kita menolak segala rupa bentuk Israiliyyaat yang menyalahi pegangan kita sebagai orang Islam dan boleh menjahanamkan aqidah kita terhadap Allah, malaikatnya serta para Rasulnya.

          Israiliyyaat yang statusnya tidak jelas “maskut ‘anhu” hendaklah diriwayati dengan bijak walaupun ia harus diriwayatkan namun kita diingatkan untuk tidak memberi perhatian kepada perkara yang tidak memberi faedah, tidak mendekatkan diri kita memahami dan menghayati al-Quran, sebaliknya ia hanya menghabiskan masa sahaja.

          Pengamatan pelbagai dimensi penting bagi mengenal pasti riwayat Israiliyyaat. Penganalisis Israiliyyaat perlu mempunyai daya kritik yang tinggi serta sifat berani demi memperjuangkan kebenaran. 


                  
(Petikan dari majalah ‘Pengasuh’ Bilangan 592)

Sumber daripada: Ustaz Mujiburrahman Ahmad Hafiz