OLEH:
DOKTOR AHMAD NAJIB BIN ABDULLAH
Muqaddimah :
Asas pembinaan dalam Islam
ialah al-Quran dan as-Sunnah. Kedua-dua sumber terpenting ini mesti diletakkan
di hadapan dan dijadikan rujukan kerana al-Quran adalah dari Allah SWT, manakala
as-Sunnah Sohihah pula bersandarkan persabdaan nabi SAW yang dibimbing wahyu
Allah.
Kefahaman yang betul tentang al-Quran dapat diperolehi menerusi Manhaj
Tafsir yang digariskan ulamak berdasarkan ciri-ciri dan syarat-syarat yang
ditentukan. Antaranya, meletakkan Tafsir Bil-Ma’tsur (Tafsir berdasarkan hadis
dan riwayat) sebagai asas Tafsir, disusuli dengan Tafsir Bil ra’yi yang selari
dengan kehendak syara’.
Penguasaan dalam bidang Usul Hadis dan pengajian hadis amat mustahak bagi
memahami Tafsir Bil-Ma’sur. Tanpa pengetahuan mendalam dalam bidang hadis amat
sukar bagi seseorang itu memahami Tafsir Bil-Ma’sur.
Israiliyyat adalah isu yang berkait rapat dengan Tafsir Bil Ma’sur kerana ia
berkembang melalui periwayatan. Kewujudannya di celah-celah tafsiran al-Quran
boleh menimbulkan bahaya tanpa disedari khususnya Israiliyyat yang bersifat
merosakkan aqidah seseorang. Dalam banyak hal ia boleh menghalang seseorang
dari memahami dan menghayati al-Quran.
Isu Israiliyyat perlu ditangani menerusi pemahaman yang betul tentang zat
Israiliyyat itu sendiri, pembahagiannya serta cara atau pun kaedah bagi
mengenal pasti atau mengenal Israiliyyat. Untuk tujuan itu, kertas ini
dikemukakan.
Pengenalan :
Pengenalan
Israiliyyat sebagaimana yang dinyatakan oleh Doktor Muhammad Husin az-Zahabi
rahimahullah: “lafaz Israiliyyaat- pada zahir adalah lafaz yang jama’, lafaz
mufradnya Israiliyyat. Ia adalah kisah atau peristiwa yang dinukilkan dari
sumber Israiliyyi dinisbahkan kepada Israiliyyat iaitu Nabi Ya’qub bin Ishak
bin Ibrahim. Kepadanyalah dinisbahkan bangsa Yahudi, lalu dikatakan “ Bani
Israil” (Az-zahabi
, Doktor Muhammad Husin, al-Israiliyyaat dalam Tafsir dan Hadis, muka surat 19)
Menurut Doktor Zahabi ulamak tafsir dan hadis telah memperluaskan
pengertian Israiliyyat daripada hanya berkisar tentang cerita yang bersumberkan
Yahudi kepada apa jua yang dianggap tidak berasas samada ia berbentuk dongeng
dahulu kala ( sebahagian ulamak melabelkannya الدّخيل ) yang boleh jadi asalnya adalah dari sumber Yahudi atau
Nasrani atau sumber-sumber lain (Ibid., muka surat 19-20). Oleh kerana kebanyakan cerita
yang diterima bersumberkan sumber Yahudi, maka lafaz Israiliyyat lebih sesuai
digunakan.
Pengenalan atau definisi Israiliyyat yang dikemukakan oleh Doktor Zahabi amat
penting kerana beliau dikira tokoh utama yang membincangkan persoalan berkaitan
Israiliyyaat. Sehigga hari ini, saya tidak mendapati seseorang pun yang menulis
atau membahaskan isu Israiliyyat melainkan ia terpaksa merujuk kepada
tulisan dan pandangan Doktor Zahabi ( lihat:
Doktor Ahmad Najib bin Abdullah. Tesis Ph.D muka surat 16-18.Universiti Islam Madinah)
Perkembangan ringkas Israiliyyat : (lihat,
al-Israiliyyaat dalam Tafsir dan Hadis, muka surat 22-38)
Menurut
sejarah, orang-orang Yahudi telah pun menetap bersama dengan orang-orang Arab
sejak zaman sebelum Islam. Mereka memiliki ilmu pengetahuan yang diambil dari
ajaran Kitab Taurat dan buku-buku ugama mereka yang lain. Orang-orang
Arab sering kali bertanya orang-orang Yahudi tentang perkara-perkara yang
berhubung sejarah lama berkenaan tokoh, peristiwa dan cerita tertentu.
Sebahagian sahabat nabi seperti Abu Hurairah dan Abu ‘Abbas r.a ada bertanya
ahli kitab Yahudi yang memeluk Islam tentang beberapa perincian cerita
terdahulu (Ibid,
muka surat 66.التفسير والمفسرون 1/70. Ibnu kasir, البداية
والنهاية ,1/17...) tetapi pertanyaan
mereka adalah terhad kepada aspek-aspek tertentu, tidak termasuk persoalan
akidah. Mereka melakukan demikian kerana mereka faham keharusan yang diberikan
nabi SAW dalam meriwayatkan cerita Israiliyyat.
Di zaman tabi’in, proses periwayatan Israiliyyat menjadi lebih aktif disebabkan
kecenderungan masyarakat mendengar cerita-cerita yang agak luar biasa.
Apabila datangnya tabi’ tabi’iin periwayatan menjadi lebih serius dengan
munculnya golongan “ القصّاص”(al-Qassas) iaitu penyampai
cerita yang tidak bertanggungjawab.
Era pembukuan karya Islam kemudiannya menyaksikan bagaimana tafsir
al-Quran termuat dicelah-celah tajuk kitab-kitab hadis sebelum ia terpisah dan
dapat menentukan kedudukannya sendiri.
Pada peringkat awalnya, tafsir al-Quran dipersembahkan dengan lengkap bersanad
kemudiannya sanad-sanad yang menghiasi matan-matan riwayat dibuang dengan
tujuan untuk meringkaskan dan meringankan saiz kitab-kitab tafsir yang penuh
sarat dengan muatan rangkaian perawi itu.
Justeru terbuangnya sanad, maka riwayat-riwayat tafsir mula menempuh
keadaan yang amat sukar dan bermasaalah di mana tidak dapat
dipastikan lagi riwayat yang boleh diterima dan riwayat yang tidak boleh
diterima. Dari timbunan riwayat inilah terdapat Israiliyyaat yang akhirnya
melengkapi sebahagian besar tafsiran ayat-ayat al-Quran. Ini berlaku
bukan sahaja kepada kitab-kitab Tafsir Bil Ma’tsur bahkan menular kepada
kitab-kitab Tafsir Birra’yi dengan kadar yang berbeza.
Pembahagian Israiliyyat :
Apabila
disebut Israiliyyat pada kebiasaanya ia merujuk kepada riwayat-riwayat
Israiliyyat yang bersifat negatif atau yang sukar diterima isinya.
Merujuk kepada pembahagian ulamak antaranya Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah
rahimahullah ( Ibnu Taimiyyah,Muqaddimah dalam Usul Tafsir,
muka surat 100) Israiliyyat dapat
dibahagikan kepada tiga bahagian:
Pertama: Israiliyyat yang selari dengan apa yang ada di dalam sumber Islam,
al-Quran dan as-Sunnah as-Sohihah. Contohnya: riwayat yang menyebut rakan
seperjalanan Nabi Musa a.s ialah Khidir.
Kedua: Israiliyyat yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah as-Sohihah.
Contohnya: cerita malaikat Harut dan Marut yang terlibat dengan dosa
besar. Minum arak, berzina dan membunuh
Ketiga: Israiliyyat yang tidak dapat dipastikan statusnya (maskut anhu).
Contohnya, riwayat-riwayat yang menyebut bahagian anggota lembu yang diambil
untuk memukul si mati dalam kisah bani Israil.
Hukum meriwayatkan Israiliyyat :
Terdapat
dua pandangan ulamak dalam masalah ini.
Pandangan pertama: Tidak harus meriwayatkan Israiliyyat. Antara dalil
mereka, hadis nabi S.A.W:
ولا تصد قوا أهل الكتا ب و لا
تكذبوهم, وقو لوا آ منا بالله وما انزل الينا
Maksudnya:
“ Janganlah kamu mempercayai Ahli Kitab dan janganlah pula mendustai mereka,
katakanlah kami beriman kepada Allah dan kepada kitab yang diturunkan kepada
kami...” (Al-Bukhari, Sohih Bukhari, hadis nombar 4485)
Hadis ini melarang
orang –orang Islam menaruh kepercayaan kepada cerita-cerita Ahli Kitab
berkenaan Kitab Taurat dan sebagainya (Az-Zahbi,
al-Israiliyyat dalam Tafsir dan hadis, muka surat 55-56).
Pandangan kedua: Harus meriwayatkan
Israiliyyat. Antara dalil mereka, hadis nabi S.A.W:
بلغوا عنى ولو آية, وحدثوا عن بنى
اسرائيل لا حرج, ومن كذب على متعمدا فليتبوأ مقعده
من النار.
Maksudnya; “Sampaikanlah daripadaku sekalipun satu ayat, riwayatkanlah
daripada Bani Israil, tiada salahnya. Sesiapa melakukan pendustaan terhadapku
dengan sengaja, maka hendaklah ia menyiapkan tempatnya dalam neraka” (Bukhari,
Sohih al-Bukhari, Hadis Nombar 3461)
Kedua-dua pandangan ini mempunyai dalil dan hajat masing-masing tetapi setelah
dibuat penelitian, kedua-dua pandangan tersebut dapat disesuaikan mengikut
pertimbangan berikut:
1.
Al-Quran
sendiri banyak menceritakan cerita-cerita Bani Israil dan cerita-cerita tentang
umat terdahulu. Ia juga mengisyaratkan keharusan merujuk kepada Ahli
Kitab.
2.
Nabi
S.A.W pula ada menceritakan tentang cerita Bani Israil seperti A-Abros,
Al-‘Ama, Al-Akro’ dan cerita A-Ghor.
3.
Hadis
Nabi S.A.W yang mengharuskan periwayatan Israiliyyaat tidak bermaksud bahawa
keharusan itu adalah mutlak. Ia terikat kepada apa yang baik atau sesuatu
cerita atau perkara yang tidak dipastikan statusnya yang mana ia boleh dianggap
benar atau dusta, tetapi tiada petunjuk yang memperlihatkan dusta atau
batilnya.
4.
Riwayat-riwayat
Israiliyyat yang jelas dustanya atau yang tidak boleh diterima akal yang waras,
maka tidak harus disebarkan melainkan dengan disebut
kebatilannya.
Kaedah
mengecam Israiliyyaat :
Bukanlah sesuatu
perkara yang mudah untuk mengatakan sesebuah riwayat itu Israiliyyaat atau
tidak. Ilmu yang amat mustahak yang tidak dapat tidak mesti dimiliki oleh
mereka yang ingin menguasai bidang ini ialah Ilmu Tafsir al-Quran, khususnya
yang melibatkan kisah-kisah al-Quran, Ilmu Mustholah Hadis, Ilmu Rijaal Hadis,
di samping pengetahuan mendalam tentang hadis-hadis yang sohih dan tidak sohih
berkenaan kisah para Nabi dan kisah-kisah lampau.
Di
sini saya cuba
menyenaraikan beberapa kaedah atau cara yang boleh membantu bagi mengenal atau
mengecam Israiliyyaat. Kaedah ini diperolehi setelah penulis membuat kajian
terperinci terhadap ciri-ciri Israiliyyaat yang terdapat di dalam Tafsir
At-tobari dengan mengambil kira pandangan ulamak mu’tabar dalam membuat
kritikan dalam riwayat-riwayat Israiliyyaat (lihat, Doktor
Ahmad Najib Bin Abdullah. Tesis Ph.D, muka surat 40-66.Universiti Islam Madinah)
Supaya
lebih teratur, saya bahagikan cara ini kepada empat sudut , pertama, pengamatan
kepada sanad riwayat Israiliyyaat, kedua, pengamatan kepada matannya, ketiga,
merujuk kepada pandangan ulamak yang mu’tabar dalam bidang Israiliyyaat
dan keempat, merujuk kepada sumber-sumber Yahudi sendiri.
Pertama: Pengamatan sanad
1.
Rijaal / perawi terkenal dengan meriwayatkan Israiliyyat seperti
Abdullah Bin ‘Amar Bin al-‘Ash, Abu Hurairah dan Abdullah Bin Salam dari
kalangan sahabat. Dari kalangan tabi’in pula seperti Ka’ab Bin al-Ahbar, Wahab
Bin Munabbbih, as-Saiyyidul al-Kabir, Qatadah, al-Hasan al-Basri dan
Mujahid manakala dari kalangan golongan tabi’ tabi’in pula seperti Ibnu Ishaq,
Ibnu Zaid dan Ibnu Juraih.
2.
Terdapat
kenyataan jelas dari perawi menyebut bahawa riwayat yang disampaikan adalah
bersumberkan sumber Israiliyyaat.
3.
Sanad
riwayat Israiliyyaat kebiasaannya bersifat terhenti “mauquf” kepada sahabat,
bukan “marfu’” kepada Nabi S.A.W.
Kedua:
Pengamatan matan
1.
Persoalan
yang disentuh Israiliyyaat biasanya mengenai asal usul kejadian alam serta
rahsianya seperti asal usul kejadian langit dan bumi serta cerita “الجوت”
2.
Matan
mengandungi kisah para Nabi dan kisah-kisah lampau.
3.
Perincian
kepada kesamaran (mubhamat) iaitu perkara yang tidak dijelaskan al-Quran
seperti menentukan jenis pokok larangan dalam syurga yang dilarang Allah kepada
Nabi Adam dan isterinya Hawa dan menentukan bahagian anggota lembu yang
digunakan untuk memukul si mati dalam kisah bani Israiliyyaaat.
4.
Matan
memperlihatkan “keterlampauan” ketara seperti cerita salah seorang anak
Nabi Adam a.s yang memikul saudaranya yang dibunuh selama seratus tahun,
dibawanya kesana kemari sehingga Allah menghantar burung gagak untuk
mengajarnya cara menyimpan jenazah saudaranya itu.
5.
Matan
mengandungi perkara-perkara yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah
as-Sohihah seperti matan yang menyebut bahawa isteri Nabi Nuh a.s adalah
daripada mereka yang selamat dari azab banjir besar.
6.
Matan
mengandungi perkara-perkara yang menyalahi kesucian “`ashamah” para Nabi
dan malaikat seperti dalam cerita keinginan nabi Yusuf terhadap isteri pembesar
Mesir yang sampai keperingkat paling kritikal iaitu menangggalkan seluar serta
kisah tentang malaikat Harut dan Marut.
7.
Matan
menyebut cerita-cerita khurafat dan karut seperti cerita gergasi “’Aaj bin
‘Unuq” dan puak “jabbaarin”.
8.
Matan
menceritakan sesuatu yang pelik “gharib” seperti yang menyebut bahawa bilangan
alam sebanyak lapan belas ribu atau empat belas ribu.
9.
Adanya
percanggahan fakta pada matan seperti penentuan anggota lembu bani Israil di
mana ada yang mengatakan paha, lidah, ekor dan sebagainya.
10.
Terdapat
kenyataan di dalam matan menyebut bahawa ia diambil dari sumber Israiliyyaat
samada dari Ahli Kitab atau kitab Bani Israil.
11.
Disebut
pada matan lafaz-lafaz “tadh’if” atau tamridh yang menjelaskan bahawa ia
dianggap lemah.
Ketiga: merujuk kepada ulamak
Ulamak
yang banyak membicarakan isu Israiliyyaat seperti:
1.
Ibnu Hazam dalam kitab al-Faslu
Fil Milaali Wal Ahwa’i Wan Nihal.
2.
At-Thobari
dalam kitab Jami’ul Bayan Fi Ta’wili Aayil Quran dan Tarikhul Umami Wal
Muluk.
3.
Al-Qodhi
‘Iadh dalam Kitabus Syifaa’ Bita’rifi Huquqil Mustafa.
4.
Syeikh
al-Islam Ibnu Taimiyyah dalam kitab An-Nubuwwah dan Al-Jawabus Sahihu Li Man
Baddala Diinul Masih.
5.
Ibnul
Qayyim dalam kitab Hidayatul Hiyari Fi Ajwibatil Yahudi Wan Nashora.
6.
Al-Hafiz
Ibnu Katsir dalan kitab tafsirnya dan juga Al-Bidayatu Wan Nihayah.
7.
Rahimahullah
Al-Hindi dalam Izharul Haq.
8.
Jamaluddin
al-Qosimi dalam Mahasinut Ta’wil.
9.
Doktor Muhammad Husin az-Zahabi
dalam Al-Israiliyyaat Fit
Tafsir Wal Hadits dan Kitabut Tafsir Wal Mufassirun.
10.
Al-‘Allamah Abu Syahbah dalam Al-Israiliyyaat Wal Maudhu’at Fi Kutubit.
Tafsir.
12.
Syeikh
Abdul Wahab an-Najjar dalam Qishoshul Anbiya’.
Keempat: Merujuk sumber-sumber Yahudi
Tujuan merujuk kepada
sumber-sumber Yahudi tidak bermaksud kita mengiyakan atau membenarkan apa yang
termaktub dalam kitab-kitab mereka tetapi sekadar untuk melakukan perbandingan
dengan kitab-kitab warisannya ulamak mu’tabar kita dalam soal-soal yang
berkaitan dengan Israiliyyaat. Sekiranya ia disebut dalam sumber-sumber
berkenaan maka ia meyakinkan kita bahawa ia memang satu riwayat Israiliyyaat.
Sumber-sumber Yahudi seperti berikut :
1.
Kitab
Taurat.
2.
Talmud.
3.
Kitab-kitab
Yahudi yang lain.
Selain daripada sumber Yahudi
terdapat juga sumber Nasrani yang termuat dalam Kitab Injil tetapi Israiliyyaat
di dalam sumber Nasrani amat sedikit berbanding sumber Yahudi sendiri.
Penutup :
Israiliyyaat merupakan
cerita-cerita berkaitan rapat dengan warisan Yahudi. Ia tersebar melalui
berbagai peringkat dan suasana sehingga mampu bertapak di dalam karya warisan
Islam, tafsir dan hadis.
Kehadirannya perlu ditangani dengan sebaik mungkin melalui pengkelasan yang
wajar berdasarkan pembahagian ulamak terhadap Israiliyyaat.
Tiada jalan pilihan bagi kita melainkan kita menolak segala rupa bentuk
Israiliyyaat yang menyalahi pegangan kita sebagai orang Islam dan boleh
menjahanamkan aqidah kita terhadap Allah, malaikatnya serta para Rasulnya.
Israiliyyaat yang statusnya tidak jelas “maskut ‘anhu” hendaklah diriwayati
dengan bijak walaupun ia harus diriwayatkan namun kita diingatkan untuk tidak
memberi perhatian kepada perkara yang tidak memberi faedah, tidak mendekatkan
diri kita memahami dan menghayati al-Quran, sebaliknya ia hanya menghabiskan
masa sahaja.
Pengamatan pelbagai dimensi penting bagi mengenal pasti riwayat Israiliyyaat.
Penganalisis Israiliyyaat perlu mempunyai daya kritik yang tinggi serta sifat
berani demi memperjuangkan kebenaran.
(Petikan
dari majalah ‘Pengasuh’ Bilangan 592)
Sumber daripada: Ustaz Mujiburrahman Ahmad Hafiz
No comments:
Post a Comment