Ikhlas itu
mempunyai bukti dan tanda-tanda yang banyak sekali, contohnya, dalam kehidupan
orang yang mukhlis; dalam tindak-tanduknya, dalam pandangan terhadap dirinya dan
juga orang lain. Di antaranya adalah:
Pertama:
Takut Kemasyhuran
Takut
kemasyhuran dan tersebarnya kemasyhuran ke atas dirinya, lebih-lebih lagi jika
dia termasuk orang yang mempunyai pangkat tertentu. Dia perlu yakin bahawa
penerimaan amal di sisi Allah hanya dengan cara sembunyi-sembunyi, tidak secara
terang-terangan dan didedahkan. Sebab andaikata kemasyhuran seseorang memenuhi
seluruh angkasa, lalu ada niat tidak baik yang masuk ke dalam dirinya, maka
sedikit pun manusia tidak memerlukan kemasyhuran itu di sisi Allah.
Maka dari
itu zuhud dalam masalah kedudukan, kemasyhuran, penampilan dan hal-hal yang
serba gemerlap lebih besar daripada zuhud dalam masalah harta, syahwat perut
dan kemaluan. Al-Imam Ibn Syihab az-Zuhri berkata: "Kami tidak melihat zuhud
dalam hal tertentu yang lebih sedikit daripada zuhud dalam kedudukan. Engkau
melihat seseorang berzuhud dalam masalah makanan, minuman dan harta. Namun jika
kami membahagi-bahagikan kedudukan, tentu mereka akan berebut dan meminta lebih
banyak lagi."
Inilah yang
membuat para ulama salaf dan orang-orang shaleh antara mereka mengkhuatirkan
dan menyangsikan hatinya dari ujian kemasyhuran, penipuan dan kedudukan. Oleh
kerana itu mereka memperingatkan hal ini kepada murid-muridnya. Para pengarang
buku telah meriwayatkan dalam pelbagai gambaran tentang tingkah laku ini,
seperti Abu Qasim a-Qusyairi dalam ar-Risalah, Abu Thalib al-Makky dalam
Qutul-Qulub, dan al-Ghazali di dalam al-Ihya’.
Begitu pula
yang dikatakan seorang zuhud yang terkenal, Ibrahim bin Adham, "Allah
tidak membenarkan orang yang suka kemasyhuran."
Seorang
zuhud yang terkenal, Bisyr al-Hafy berkata, "Saya tidak mengenal orang
yang suka kemasyhuran melainkan agama menjadi sirna dan dia menjadi hina."
Beliau juga
berkata, "Tidak akan merasakan manisnya kehidupan akhirat orang yang suka
terkenal di tengah manusia."
Seseorang
pernah menyertai perjalanan Ibn Muhairiz. Ketika hendak berpisah, orang itu
berkata, "Berilah aku nasihat."
Ibn
Muhairiz berkata, "Jika boleh hendaklah engkau mengenal tetapi tidak
dikenal, berjalanlah sendiri dan jangan mahu diikuti, bertanyalah dan jangan
ditanya. Lakukanlah hal ini."
Ayyub
as-Sakhtiyani berkata, "Seseorang tidak berniat secara benar kerana Allah
kecuali jika dia suka tidak merasakan kedudukannya."
Khalid bin
Mi’dan adalah seorang ahli ibadah yang dipercayai. Jika semakin ramai
orang-orang yang berkumpul di sekelilingnya, maka beliau pun beranjak pergi
kerana takut dirinya menjadi terkenal.
Salim bin
Handzalah menceritakan, "Ketika kami berjalan secara beramai-ramai di
belakang Ubay bin Ka’ab, tiba-tiba Umar melihatnya lalu melemparkan susu ke
arahnya."
Ubay bin
Ka’ab lalu bertanya, "Wahai Amirul Mu’minin, apakah yang telah engkau
lakukan?"
Jawab Umar,
"Sesungguhnya kejadian ini merupakan kehinaan bagi yang mengikuti dan
ujian bagi yang diikuti."
Ini
merupakan perhatian Umar bin al-Khattab secara psikologi terhadap fenomena yang
pada permulaannya boleh menimbulkan kesan dan pengaruh yang jauh terhadap
kejiwaan orang-orang yang mengikuti dan sekaligus orang yang diikuti.
Diriwayatkan
dari al-Hasan, beliau berkata, "Pada suatu hari Ibn Mas’ud keluar dari
rumahnya, lalu diikuti beberapa orang. Maka beliau berpaling ke arah mereka dan
berkata: "Ada
apa kamu mengikutiku? Demi Allah, andaikata kamu tahu alasanku menutup pintu
rumahku, dua orang antara kamu pun tidak akan dapat mengikutiku."
Pada suatu
hari al-Hasan keluar rumah lalu diikuti beberapa orang. Beliau bertanya,
"Apakah kamu ada keperluan kepadaku? Jika tidak, mengapa kejadian seperti
ini masih tersemat dalam hati orang Mu’min?"
Ayyub
as-Sakhtiyani melakukan suatu perjalanan, lalu ada beberapa orang yang
mengalu-alukan kedatangannya. Beliau berkata, "Andaikata tidak kerana aku
tahu bahawa Allah mengetahui isi hatiku tentang ketidaksukaan aku terhadap hal
ini, tentu aku takut kebencian dari Allah."
Ibn Mas’ud
berkata, "Jadilah kamu sebagai sumber ilmu, pelita petunjuk, penerang
rumah, obor pada waktu malam dan pembaharu hati yang diketahui penduduk langit,
namun tidak dikenal penduduk bumi."
Al-Fudhayl
ibn Iyadh berkata, "Jika engkau sanggup untuk tidak dikenal, maka
lakukanlah. Apa sukarnya engkau tidak dikenal? Apa sukarnya engkau tidak
disanjung-sanjung? Tidak mengapalah engkau tercela di hadapan manusia selagi
engkau terpuji di sisi Allah."
Athar-athar
ini tidak mengajak kepada pengasingan atau uzlah. Orang-orang yang menjadi
sumber riwayat ini adalah para imam dan da’ie. Mereka memiliki pengaruh yang
amat baik dalam menyeru masyarakat, mengarahkan dan memperbaiki keadaan
manusia. Tetapi yang dapat difahami dari sejumlah penyataan mereka adalah
kebangkitan dari naluri jiwa yang tersembunyi, kewaspadaan terhadap tipudaya
yang disusupkan syaitan ke dalam hati manusia, jika hati mereka dicampuri
hal-hal yang serba gemerlap dan dikelilingi orang-orang yang mengikutinya.
Kemasyhuran
itu sendiri bukanlah suatu yang tercela. Tiada yang lebih masyhur daripada para
Anbia’, al-Khulafa’ ar-Rasyidin, dan imam-imam mujtahidin. Tetapi yang tercela
adalah mencari kemasyhuran, takhta dan kedudukan, serta sangat bercita-cita mendapatkannya.
Kemasyhuran tanpa cita-cita ini tidaklah menjadi masalah, sekali pun ia tetap
menjadi ujian bagi orang-orang yang lemah, seperti yang dikatakan oleh Imam
al-Ghazali.
Sejajar
dengan pengertian ini yang telah disebutkan dalam hadith Abu Dzar daripada
Rasulullah s.a.w , bahawa Baginda pernah ditanya tentang seorang lelaki yang
melakukan suatu amal kebajikan kerana Allah, lalu orang ramai menyanjungnya.
Maka
Baginda menjawab, "Itu kurnia yang didahulukan, sekaligus khabar gembira
bagi orang Mu’min." (HR Imam Muslim, Ibn Majah dan Ahmad)
Ada pula
lafaz lain, "Seseorang melakukan amal kerana Allah lalu orang-orang pun
menyukainya.."
Pengertian
seperti inilah yang ditafsirkan oleh al-Imam Ahmad, Ishaq bin Rahawaih, Ibn
Jarir at-Thabary dan lain-lainnya.
Begitu pula
hadith yang ditakhrij Imam at-Tirmidzi dan Ibn Majah, dari hadith Abu Hurairah,
bahawa ada seorang lelaki berkata, "Wahai Rasulullah, ada seorang
melakukan suatu amal dan dia pun senang melakukannya. Setiap kali dia
melakukannya kembali, maka dia pun berasa takjub kepadanya."
Baginda
bersabda, "Dia mempunyai dua pahala, pahala kerana merahsiakan dan
pahala memperlihatkan."
Kedua:
Menuduh Diri Sendiri
Orang yang
mukhlis sentiasa menuduh diri sendiri sebagai orang yang berlebih-lebihan di
sisi Allah dan kerana dalam melaksanakan pelbagai kewajipan, tidak mampu
menguasai hatinya kerana terpedaya oleh suatu amal dan takjub pada dirinya
sendiri. Malahan dia sentiasa takut andaikata keburukan-keburukannya tidak
diampunkan dan takut kebaikan-kebaikannya tidak diterima.
Kerana
sikap seperti ini, ada sebahagian di antara para salaf yang menangis
tersedu-sedu ketika jatuh sakit. Beberapa orang yang menziarahinya bertanya,
"Mengapa engkau masih menangis, padahal engkau suka berpuasa, mendirikan
solat malam, berjihad, mengeluarkan sedekah, haji umrah, mengajarkan ilmu dan
banyak berzikir?"
Beliau
menjawab, "Apa yang membuatkanku tahu bahawa hanya sedikit dari
amal-amalku yang masuk dalam timbanganku dan juga diterima di sisi Rabb-ku?
Sementara Allah telah berfirman, Allah hanya menerima (amal) dari
orang-orang yang bertaqwa,"
Satu-satunya
sumber taqwa adalah hati. Maka dari itu al-Quran menambahinya dengan firman
Allah yang bermaksud: "Maka sesungguhnya itu timbul dari
ketaqwaan hati.." (al-Hajj: 32)
Nabi s.a.w
bersabda:
"Taqwa
itu ada di sini," Baginda mengulanginya tiga kali dan menunjuk ke arah
dadanya. (HR Imam Muslim)
Sayyidah
Aishah r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang orang-orang yang
dinyatakan dalam firman Allah bermaksud: "Dan orang-orang yang
memberikan apa yang telah mereka berikan dengan hati yang takut, (kerana mereka
tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Rabb mereka."
(al-Mu’minun: 60)
"Apakah
mereka orang-orang yang mencuri, berzina, meminum khamar dan mereka takut
kepada Allah?"
Baginda
menjawab, "Bukan, wahai puteri as-Shiddiq. Tetapi mereka adalah
orang-orang yang mendirikan solat, berpuasa, mengeluarkan sedekah, dan mereka
takut amalnya tidak diterima. Mereka itu bersegera untuk mendapatkan
kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehinya."
(HR Imam Ahmad dan lain-lainnya)
Orang yang
mukhlis sentiasa takut terhadap riya’ yang menyusup ke dalam dirinya, sedang
dia tidak menyedarinya. Inilah yang disebut syahwah khafiyyah yang
menyusup ke dalam diri orang yang meniti jalan kepada Allah tanpa disedarinya.
Dalam hal
ini Ibn ‘Atha’illah memperingatkan, "Kepentingan peribadi dalam
kederhakaan amat jelas dan terang. Sedangkan kepentingan peribadi di dalam
ketaatan tersamar dan tersembunyi. Padahal menyembuhkan apa yang tidak nampak
itu amat sukar. Boleh jadi ada riya’ yang masuk ke dalam dirimu dan orang lain
juga tidak melihatnya. Tetapi kebanggaanmu bila orang lain melihat kelebihanmu
merupakan budi ketidakjujuranmu dalam beribadah. Maka kosongkanlah pandangan
orang lain terhadap dirimu. Cukup bagimu pandangan Allah terhadap dirimu. Tidak
perlu bagimu tampil di hadapan mereka agar engkau terlihat di mata
mereka."
Ketiga:
Beramal Secara Diam-Diam, Jauh Dari Hebahan
Amal yg
dilakukan secara diam-diam hendaklah lebih disukai daripada amal yang disertai
hebahan dan didedahkan. Dia lebih suka memilih menjadi perajurit bayangan yang
rela berkorban, namun tidak diketahui dan tidak dikenali. Dia lebih suka
memilih menjadi bahagian dari suatu jamaah, ibarat akar pohon yang menjadi
penyokong dan saluran kehidupannya, tetapi tidak terlihat oleh mata,
tersembunyi di dalam tanah; atau seperti asas bangunan. Tanpa asas, dinding
tidak akan berdiri, atap tidak akan dapat dijadikan berteduh dan bangunan tidak
dapat ditegakkan. Tetapi ia tidak terlihat, seperti dinding yang terlihat
jelas. Syauqy berkata di dalam syairnya:
"Landasan
yang tersembunyi
Tidak
terlihat mata kerana merendah
Bangunan
yang menjulang tinggi
Di atasnya
dibangun megah"
Di bahagian
sebelum ini telah dikemukakan hadith Mu’adz, "Sesungguhnya Allah
menyintai orang-orang yang berbuat kebaikan, bertaqwa dan menyembunyikan
amalnya, iaitu jika tidak hadir mereka tidak diketahui. Hati mereka adalah
pelita-pelita petunjuk. Mereka keluar dari setiap tempat yang gelap."
Keempat:
Tidak Memerlukan Pujian Dan Tidak Tenggelam Oleh Pujian
Tidak
meminta pujian orang-orang yang suka memuji dan tidak bercita-cita
mendapatkannya. Jika ada seseorang memujinya, maka dia tidak terkecoh tentang
hakikat dirinya di hadapan orang yang memujinya, kerana memang dia lebih
mengetahui tentang rahsia hati dan dirinya daripada orang lain yang boleh
tertipu penampilan dan tidak mengetahui batinnya.
Ibn
‘Atha’illah berkata, "Orang-orang memujimu dari persangkaan mereka tentang
dirimu. Maka adalah engkau orang yang mencela dirimu sendiri kerana apa yang
engkau ketahui pada dirimu. Orang yang paling bodoh adalah yang meninggalkan
keyakinannya tentang dirinya kerana ada persangkaan orang-orang tentang
dirinya."
Diriwayatkan
dari Ali bin Abi Thalib r.a., bahawa jika dipuji orang lain maka beliau
berkata, "Ya Allah, janganlah Engkau hukum aku kerana apa yang mereka
katakan. Berikanlah kebaikan kepadaku dari apa yang tidak mereka ketahui."
Ibn Mas’ud
r..a berkata kepada orang-orang yang mengekori dan mengerumuninya,
"Andaikata kamu tahu alasanku menutup pintu rumahku, dua orang antara kamu
pun tidak akan dapat mengikutiku." Padahal beliau adalah sahabat yg
menonjol, pemuka petunjuk dan pelita Islam.
Sekumpulan
orang memuji seorang Rabbani. Lalu dia mengadu kepada Allah sambil berkata,
"Ya Allah, mereka tidak mengenalku dan hanya Engkaulah yang mengetahui
siapa diriku."
Salah
seorang yang shaleh bermunajat kepada Allah, kerana sebahagian orang ada yang
memujinya dan menyebut-nyebut kebaikan dan kemuliaan akhlaknya:
"Mereka
berbaik sangka kepadaku
Padahal
hakikatnya tidaklah begitu
Tetapi aku
adalah orang yang zalim
Sebagaimana
yang Engkau sedia maklum
Kau
sembunyikan semua aib yang ada
Dari
pandangan mata mereka
Kau kenakan
pakaian menawan
Sebagai
tabir tutupan
Jadilah
mereka meyintai
Padahal aku
tidak layak dicintai
Tapi
hanyalah diserupai
Janganlah
Engkau hinakan aku
Pada Hari
Qiamat di tengah mereka
Jadikanlah
aku yang mulia
Termasuk
yang hina dina"
Penyair
yang shaleh ini mengisyaratkan makna yang lembut dan sangat penting, iaitu
keindahan tabir yang diberikan Allah kepada hamba-hambaNya. Berapa banyak cela
yang tersembunyi, dan Allah menutupinya dari pandangan orang ramai. Andaikata
Allah membuka tabir itu dari pandangan mereka, tentu kelemahannya akan
terserlah dan kedudukannya akan jatuh. Tetapi kurnia Allah enggan untuk
menyingkap tabir kelemahan hamba-hambaNya, sebagai kurnia dan kemuliaan
baginya.
Seerti
dengan ini telah dikatakan oleh Ibn ‘Atha’illah, "Sesiapa yang
memuliakanmu, sebenarnya dia telah memuliakan keindahan tabir pada dirimu.
Keutamaan ada pada diri orang yang memuliakanmu dan menutupi aibmu, bukan pada
diri orang yang menyanjungmu dan berterima kasih kepadamu."
Abu
al-Atahiyah berkata dalam syairnya:
"Allah
telah berbuat baik kepada kita
Kerana
kesalahan tidak menyebar ke mana-mana
Apa yg
tersembunyi pada diri kita
Tentu
tersingkap di sisiNya"
Kelima:
Tidak Kedekut Pujian Terhadap Orang Yg Memang Layak Dipuji
Tidak
kedekut memberikan pujian kepada orang lain yang memang layak dipuji dan
menyanjung orang yang memang layak disanjung. Di sana ada dua bencana yg bakal
muncul: Pertama, memberikan pujian dan sanjungan kepada orang yang tidak
berhak. Kedua, kedekut memberikan pujian kepada orang yang layak.
Nabi s.a.w.
pernah memuji sekumpulan para sahabatnya, menyebut-nyebut keutamaan dan
kelebihan mereka, seperti sabda Baginda tentang Abu Bakar yang bermaksud:
"Andaikata aku boleh mengambil seorang kekasih selain Rabb-ku,
nescaya aku mengambil Abu Bakar sebagai kekasihku. Tetapi dia adalah
saudara dan sahabatku."
Sabda
Baginda kepada Umar: "Andaikata engkau melalui suatu jalan, tentu
syaitan akan melalui jalan yang lain."
Sabda
Baginda kepada Uthman: "Sesungguhnya beliau adalah orang yang para
malaikat pun berasa malu terhadap dirinya."
Sabda
Rasulullah terhadap Ali: "Di mataku engkau seperti kedudukan Harun di
mata Musa."
Sabda
Rasulullah terhadap Khalid bin al-Walid: "Beliau adalah salah satu
daripada pedang-pedang Allah."
Sabda
Rasulullah terhadap Abu Ubaidah: "Beliau adalah kepercayaan umat
ini."
Masih ramai
sahabat yang dipuji Nabi s.a.w. , kerana kelebihan dan keistimewaan mereka. Di
antara mereka ada dari kalangan pemuda, seperti Usamah bin Zaid yang diangkat
menjadi komandan pasukan perang, padahal dalam pasukan tersebut terdapat para
pemuka sahabat. Baginda mengangkat Itab bin Usaid sebagai pegawai di Makkah,
padahal umurnya masih dua puluh tahun. Mu’adz bin Jabal dikirim ke Yaman,
padahal beliau masih muda. Sebahagian di antara mereka lebih diutamakan
daripada orang-orang yang lebih terdahulu memeluk Islam, kerana kelebihan
dirinya, seperti Khalid bin al-Walid dan Amr bin al-Ash.
Boleh jadi
seseorang tidak mahu memberikan pujian kepada orang yang layak dipuji, kerana
ada maksud tertentu dalam dirinya, atau kerana rasa iri hati yang
disembunyikan, seperti takut campurtangan di pejabatnya, atau menyaingi
kedudukannya. Kerana dia juga tidak mampu untuk melemparkan celaan, maka
setidak-tidaknya dia hanya berdiam diri dan tidak perlu menyanjungnya.
Kita
melihat bagaimana Umar bin al-Khattab yang meminta pendapat Ibn Abbas dalam
pelbagai urusan, padahal Ibn Abbas masih sangat muda. Maka para pemuka sahabat
berkata kepadanya, "Bicaralah wahai Ibn Abbas. Kerana usia yg muda tidak
menghalangimu untuk berbicara."
Keenam:
Berbuat Selayaknya Dalam Memimpin
Orang yang
mukhlis kerana Allah akan berbuat selayaknya ketika menjadi pemimpin di barisan
terhadapan dan tetap setia ketika berada paling belakang, dalam dua keadaan ini
dia tetap mencari keredhaan Allah. Hatinya tidak dikuasai kesenangan untuk
tampil, menguasai barisan dan menduduki jabatan strategi dalam kepimpinan.
Tetapi dia lebih mementingkan kemashlahatan bersama kerana takut ada kewajipan
dan tuntutan kepimpinan yang dia lewatkan.
Apa pun
keadaannya dia tidak bercita-cita dan tidak menuntut kedudukan untuk
kepentingan dirinya sendiri. Tetapi jika dia dibebankan tugas sebagai pemimpin,
maka dia melaksanakannya dan memohon pertolongan kepada Allah agar dia mampu
melaksanakannya dengan baik. Rasulullah s.a.w telah mensifatkan kelompok orang
seperti ini dalam sabda Baginda yang bermaksud:
"Keuntungan
bagi hamba yang mengambil tali kendali kudanya fi sabilillah, yang kusut
kepalanya dan yang kotor kedua telapak kakinya. Jika kuda itu berada di barisan
belakang, maka dia pun berada di kedudukan penjagaan." (HR Imam
Bukhari)
Allah
meredhai Khalid bin al-Walid yang diberhentikan sebagai komandan pasukan,
sekali pun beliau seorang komandan yang sentiasa mendapat kemenangan. Setelah
itu beliau pun menjadi orang bawahan Abu Ubaidah tanpa rasa rendah diri. Dalam
kedudukan seperti itu pun beliau tetap ikhlas memberikan pertolongan.
Rasulullah
s.a.w. memperingatkan seandainya ada seseorang yang meminta jawatan dan sengaja
untuk mendapatkannya. Telah disebutkan di dalam as-Shahih, bahawa Nabi s.a.w.
pernah bersabda kepada Abdurrahman bin Samurah:
"Janganlah
engkau meminta jawatan pemimpin. Kerana jika engkau memperoleh jawatan itu
tanpa meminta maka engkau akan mendapat sokongan, dan jika engkau memintanya,
maka semua tanggungjawab akan dibebankan kepadamu." (Muttafaq ‘Alaihi)
Ketujuh:
Mencari Keredhaan Allah, Bukan Keredhaan Manusia
Tidak
memperdulikan keredhaan manusia jika di sebalik itu ada kemurkaan Allah ‘Azza
wa Jalla. Sebab setiap orang di antara satu sama lain saling berbeza dalam sikap,
rasa, pemikiran, kecenderungan, tujuan dan jalan yang ditempuh. Berusaha
membuat mereka redha adalah suatu yang tiada penghujungnya, tujuan yang sulit
diketahui dan tuntutan yang tidak terkabul. Dalam hal ini seorang penyair
berkata:
"Adakalanya
seseorang
Membuat
redha sekian ramai orang
Kini betapa
jauh jarak yang membentang
Di tengah
tuntutan-tuntutan hawa nafsu"
Penyair
lain berkata:
"Jika
aku meredhai orang-orang yang mulia
Tentunya
aku memurkai orang-orang yang hina"
Orang yang
mukhlis tidak terlalu peduli dengan semua ini, kerana syiarnya hanya bersama
Allah. Dikatakan dalam satu syair:
"Boleh
jadi engkau mengasingkan diri
Tetapi
hidup tetap terasa pahit di hati
Boleh jadi
engkau redha
Padahal
orang lain murka
Engkau
membangun dan orang lain merobohkan
Antara
diriku dan alam ada kerosakan
Jika di
hatimu ada cinta semua itu tiada daya
Apa yang
ada di atas tanah
Tetap
menjadi tanah"
Kelapan:
Menjadikan Keredhaan Dan Kemarahan Kerana Allah, Bukan Kerana Kepentingan
Peribadi
Kecintaan
dan kemarahan, pemberian dan penahanan, keredhaan dan kemurkaan harus dilakukan
kerana Allah dan agamaNya, bukan kerana pertimbangan peribadi dan
kepentingannya, tidak seperti orang-orang munafik opportunis yang dicela Allah
dalam KitabNya:
"Dan
di antara mereka ada yang mencela mu tentang (pembahagian) zakat. Jika mereka
diberi sebahagian daripadanya, mereka bersenang hati, dan jika mereka tidak
diberi sebahagian daripadanya, dengan serta merta mereka menjadi marah." (at-Taubah: 58)
Boleh jadi
engkau pernah melihat orang-orang yang aktif dalam lapangan dakwah, apabila ada
salah seorang rakannya melontarkan perkataan yang mengganggu atau melukai
perasaannnya, atau ada tindakan yang menyakiti dirinya, maka secepat itu pula
dia marah dan meradang, lalu meninggalkan harakah dan aktivitinya, meninggalkan
medan jihad dan dakwah.
Ikhlas
untuk mencapai tujuan menuntutnya untuk cekal dalam berdakwah dan gerak
langkahnya, sekali pun orang lain menyalahkan, meremehkan dan bertindak
melampaui batas terhadap dirinya. Sebab dia berbuat kerana Allah, bukan kerana
kepentingan peribadi atau atas nama keluarga, serta bukan kerana kepentingan
orang tertentu.
Dakwah
kepada Allah bukan seperti harta yang ditimbun atau harta milik seseorang.
Tetapi dakwah merupakan milik semua orang. Siapa pun orang Mu’min tidak boleh
menarik diri dari medan dakwah ini hanya kerana sikap atau tindakan tertentu
yang mempengaruhi dirinya.
Kesembilan:
Sabar Sepanjang Jalan
Perjalanan
yang panjang, lambatnya hasil yang diperoleh, kejayaan yang tertunda, kesulitan
dalam bergaul dengan pelbagai lapisan manusia dengan perbezaan perasaan dan
kecenderungan mereka, tidak boleh membuatnya menjadi malas, bersikap leka,
mengundurkan diri, atau berhenti di tengah jalan. Sebab dia berbuat bukan
sekadar untuk sebuah kejayaan atau pun kemenangan, tetapi yang paling pokok
tujuannya adalah untuk keredhaan Allah dan menuruti perintahNya.
Nabi Nuh
a.s., pemuka para anbia’, hidup di tengah kaumnya selama 950 tahun. Beliau
berdakwah dan bertabligh, namun hanya sedikit sekali yang mahu beriman kepada
beliau. Padahal pelbagai cara dakwah sudah ditempuh, waktu dan bentuk dakwahnya
juga pelbagai cara, sebagaimana yang difirmankan oleh Allah melalui perkataan
beliau:
"Wahai
Rabb-ku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang, maka seruanku
itu hanyalah menambah mereka lari (dari kebenaran). Dan sesungguhnya setiap
kali aku menyeru mereka (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka
memasukkan anak jari mereka ke dalam telinganya dan menutupkan bajunya (ke
mukanya) dan mereka tetap (mengingkari) dan terlalu menyombongkan diri." (Nuh: 5-7)
Sekali pun
harus menghabiskan masa selama 950 tahun, beliau tetap menyeru kaumnya dan
akhirnya ada 40 orang yang berhimpun bersama beliau. Sedangkan kaumnya yang
lain berpaling dari beliau, sekali pun beliau sangat berharap mereka mahu
beriman.
Al-Quran
telah mengisahkan kepada kita individu-individu Mu’min di dalam surah al-Buruj.
Mereka rela mengorbankan nyawa fi sabilillah dan mereka tidak mengatakan,
"Kematian ini dapat memberi apa-apa manfaat terhadap dakwah kita?"
Mereka
tidak berkata seperti itu, kerana mereka mempunyai keteguhan hati dan
pengorbanan. Kejayaan dakwah ada di tangan Allah. Siapa tahu darah mereka itu
merupakan santapan lazat bagi pohon iman generasi berikutnya?
Perkara
yang prinsip, alam orang yang mukhlis hanya bagi Allah semata. Dia cekal dalam
hal ini dan terus seperti itu. Hasil dan buah di dunia diserahkan kepada Allah,
kerana Allah-lah yang menyediakan penyebabnya dan membatasi waktunya. Dia hanya
sekadar berusaha. Jika berjaya, maka segala puji hanya bagi Allah, dan jika
gagal, maka segala daya kekuatan itu hanya milik Allah.
Sesungguhnya
di akhirat Allah tidak akan bertanya kepada manusia, "Mengapa engkau tidak
memperoleh kemenangan?" Tetapi Dia akan bertanya, "Mengapa engkau
tidak berusaha?"
Allah tidak
bertanya, "Mengapa engkau tidak berjaya?" Tetapi Dia bertanya,
"Mengapa engkau tidak melakukannya?"
Kesepuluh:
Berasa Senang Jika Ada Yang Bergabung
Berasa
senang jika ada seseorang yang mempunyai kemampuan, bergabung dalam barisan
mereka yang mahu beramal, untuk menegakkan bendera atau ikut taat dalam amal.
Hal ini harus disertai dengan usaha memberikan kesempatan kepadanya, sehingga
dia dapat mengambil tempat yang sesuai dengan kedudukannya. Dia tidak harus
rasa terganggu, terganjal, dengki atau pun gelisah kerana kehadirannya. Malahan
jika orang yang mukhlis melihat ada orang lain yang lebih baik daripada dirinya
yang mahu memikul tanggungjawabnya, maka dengan senang hati dia akan mundur,
memberikan tanggungjawabnya kepada orang itu dan dia berasa senang menyerahkan
jawatan kepadanya.
Sebahagian
orang yang memegang jawatan, lebih-lebih lagi jika berada di barisan hadapan,
tidak mahu menyerah dalam mempertahankan kedudukannya, tidak mahu berundur
walau bagaimanapun keadaannya dan suka menekan orang lain. Dia berkata,
"Ini merupakan kedudukan yang telah diberikan Allah kepadaku, maka aku
tidak mahu melepaskannya. Ini adalah pakaian yang telah dikenakan kepadaku,
maka aku tidak mahu membukanya. Kedudukan ini datang dari langit."
Padahal
waktu terus berlalu, keadaan berubah dan kekuatan menjadi lemah. Setiap masa
diperuntukkan bagi mereka yang sesuai dengannya, sebagaimana setiap tempat
diperuntukkan bagi orang yang memang sesuai dengan tempat itu. Banyak cemuhan
ditujukan kepada penguasa yang bermati-matian mempertahankan kerusi dan
kedudukannya, dengan anggapan bahawa merekalah yang paling mampu mengendalikan
perahu dan menjaganya dari terpaan angin taufan.
Ketika
mendapat kritikan dari orang lain, para da’ie Muslim tidak boleh menutup mata
atau menutup telinga. Mereka juga tidak boleh lepas tangan demi kemaslahatan
dakwah sebagaimana orang lain yang tidak boleh lepas tangan demi kemaslahatan
negara dan ummah. Kerana andai lepas tangan, boleh jadi itu merupakan belenggu syaitan
dan godaan yang dibisikkan ke dalam hati para aktivitis Islam. Sehingga jika
yang lebih banyak berbicara adalah kepentingan diri sendiri, kecintaan kepada
kedudukan dan dunia, maka itu dianggap pengabdian terhadap agama.
Berapa
ramai jemaah atau harakah yang disusupi kezaliman dari luar, pengaruh dari
dalam atau kepincangan dalam berfikir dan beramal, tiada inovasi dan tajdid,
sebagai akibat dari kerakusan satu atau dua orang yang terlibat di dalamnya.
Dia tidak mahu melepaskan kedudukannya kepada orang lain. Dia lupa bahawa bumi
ini terus berputar, planet-planet terus berlalu, dunia terus berubah. Tetapi
ternyata mereka tidak mahu berputar seiring dengan putaran bumi, tidak berubah
seiring dengan perubahan waktu dan tempat serta keadaan manusia.
Malahan di
antara mereka ada yang memikul beban dan tanggungjawab melebihi kemampuan
bahunya. Padahal maksudnya ialah untuk menghalang jalan bagi orang lain yang
lebih mampu dan lebih bertenaga, bukan sahaja orang lain itu dapat dikerahkan
untuk mengurangkan beban amanat yang dipikulnya malah sekaligus sebagai melatih
diri untuk memikul tanggungjawab.
Kesebelas:
Rakus Terhadap Amal Yang Bermanfaat
Di antara
bukti ikhlas adalah rakus terhadap amal yang paling diredhai Allah, dan bukan
yang paling diredhai oleh dirinya sendiri. Sehingga orang yang mukhlis lebih
mementingkan amal yang lebih banyak manfaatnya dan lebih mendalam pengaruhnya,
tanpa disusupi hawa nafsu dan kesenangan diri sendiri.
Dia senang
melakukan puasa nafilah dan solat dhuha. Namun sekali pun waktunya dihabiskan
untuk mendamaikan mereka yang sedang bertikai, justeru itulah yang lebih
dipentingkannya. Dalam sebuah hadith disebutkan:
"Ketahuilah,
akan ku khabarkan kepadamu tentang sesuatu yang lebih utama daripada darjat
puasa, solat dan sedekah. Iaitu mendamaikan di antara sesama manusia. Sebab
kerosakan di antara sesama amnusia adalah pemotong." (HR Imam Abu Daud
dan at-Tirmidzi, hadith shahih)
Dia
mendapatkan kesenangan di hati dan kegembiraan di dalam jiwa jika boleh
melaksanakan umrah pada setiap bulan Ramadhan dan haji pada musimnya. Tetapi
dikatakan kepadanya, "Sumbangkan saja wang itu untuk ikhwan kita di
Palestin atau Bosnia atau Kashmir yang sedang mengalami kehancuran." Jika
hatinya tidak lapang dan menolak, maka dia seperti apa yang dikatakan
al-Ghazali sebagai orang yang tertipu.
Ada seorang
penderma dari salah satu negara kaya yang berkunjung ke Afrika untuk membangun
sebuah masjid. Di sana dia ditemui oleh para wakil masyarakat, yang mengusulkan
agar dia membaiki beberapa masjid lama yang hampir roboh. Sementara
masjid-masjid itu berada di tempat strategik di tengah permukiman penduduk dan
kewujudannya sangat diperlukan. Tabung yang mestinya untuk membangun satu
masjid yang direncanakan, cukup untuk membaiki sepuluh masjid lama yang sudah
ada dan hampir roboh itu. Tetapi ternyata dia menolak, kecuali jika namanya
digunakan untuk nama-nama masjid tersebut!
Kedua
Belas: Menghindari Ujub
Di antara
tanda kesempurnaan ikhlas ialah tidak merosak amal dengan ujub, berasa senang
dan puas terhadap amal yang telah dilakukannya. Sikap seperti ini dapat
membutakan matanya untuk melihat celah-celah yang sewaktu-waktu muncul.
Seharusnya apa yang perlu dilakukan oleh orang Mu’min setelah melaksanakan
suatu amal ialah takut jikalau dia telah melakukan kelalaian, disedari mahupun
tidak disedari. Maka dari itu dia takut jikalau amalnya tidak diterima. Allah
berfirman:
"Sesungguhnya
Allah hanya menerima (korban) dari mereka yang bertaqwa." (al-Maidah: 27)
Di antara
ungkapan yang sangat berkesan dalam masalah ini, yang dinisbatkan kepada Ali
bin Abi Thalib adalah, "Suatu keburukan yang menyesakkanmu lebih baik di
sisi Allah daripada kebaikan yang membuatmu ujub."
Pengertian
sepertt ini juga ditetapkan Ibn ‘Atha’illah di dalam Al-Hikam, beliau berkata,
"Boleh jadi Allah membuka pintu ketaatan bagimu, tetapi tidak membuka
pintu penerimaan amal bagimu. Boleh jadi Allah mentaqdirkan kederhakaan ke atas
dirimu, lalu kederhakaan itu menjadi sebab yang menghantarkan ke tujuan.
Kederhakaan yang membuahkan ketundukan dan kepasrahan lebih baik daripada
ketaatan yang membuahkan ujub dan kesombongan."
Dari sini
al-Quran memperingatkan agar tidak menyertai sedekah dengan menyebut-nyebut
sedekah itu dan ucapan yang menyakitkan, kerana dikhuatirkan justeru
menggugurkan pahala yang dihilangkan pengaruhnya. Allah berfirman yang
bermaksud:
"Perkataan
yang baik dan pemberian maaf lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan
suatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha
Penyantun. Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala)
sedekah kamu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima),
seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riya’ kepada manusia dan dia
tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan bagi orang itu
adalah seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa
hujan lebat, lalu jadilah ia bersih (tidak bertanah)." (al-Baqarah:
263-264)
Rasulullah
s.a.w juga memperingatkan ujub dan menjadikannya termasuk hal-hal yg merosak.
Ibn Umar meriwayatkan dari Baginda yang bermaksud:
"Tiga
perkara yang merosak dan tiga perkara yang menyelamatkan. Sedangkan
perkara-perkara yang merosak adalah kedekut yg ditaati, hawa nafsu yang diikuti
dan ujub seseorang terhadap dirinya." (HR Imam at-Thabrani, hadith
hasan dlm Shahih al-Jami’ as-Shaghir, no. 3045)
Al-Quran
telah mengisahkan kepada kita kejadian yang dialami kaum Muslimin pada waktu
Perang Hunain. Allah telah memberikan kemenangan kepada mereka sewaktu Perang
Badar, padahal mereka sama sekali tidak lah kuat untuk menang. Allah juga
memberikan kemenangan kepada mereka pada Perang Khandaq, yang sebelum itu
pandangan mereka meredup, hati mereka naik ke atas hingga sampai ke
tenggorokan, mereka menduga yang bukan-bukan terhadap Allah dan mereka
tergoncang dengan hebat. Allah juga memberikan kemenanagn kepada mereka pada
waktu Perang Khaibar dan Fathu Makkah. Tetapi pada waktu Perang Hunain mereka
menjadi ujub kerana jumlah mereka yang banyak. Ternyata jumlah yang banyak ini
tidak memberi manfaat apa-apa, hingga mereka pasrah kepada Allah. Mereka pun
menyedari bahawa kemenangan datang hanya dari sisi Allah. Dia berfirman yang
bermaksud:
"Sesungguhnya
Allah telah menolong kamu (hai kaum Mu’min) di medan peperangan yang banyak,
dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu pada waktu kamu menjadi sombong kerana
banyaknya jumlah kamu, maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepada
kamu sedikit pun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit oleh kamu,
kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai. Kemudian Allah menurunkan
ketenangan kepada
RasulNya dan kepada mereka yang beriman." (at-Taubah: 25-26)
Orang
Mu’min yang sedar adalah mereka yang menyerahkan segala urusannya hanya kepada
Allah, lalu percaya bahawa kemenangan hanya datang dari sisiNya. Firman Allah:
"Dan
kemenangan itu hanyalah dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Aali Imran: 126)
Kemuliaan
juga datang hanya dari sisiNya:
"Barangsiapa
yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allah-lah kemuliaan itu." (Fathir: 10)
Taufiq
kepada hal-hal yang baik juga berasal dari pertolongan Allah. FirmanNya:
"Dan
tidak ada taufiq bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah." (Hud: 88)
Hidayah
hanya datang dari sisiNya:
"Barangsiapa
yang disesatkanNya, maka kamu tidak boleh mendapatkan seorang pemimpin pun yang
datang yang mampu memberikan petunjuk kepadanya." (al-Kahfi: 17)
Dikatakan
dalam sebuah syair:
"Andaikan
Allah tiada mempedulikan kehendakmu
Nescaya
tidak akan ada pilihan bagi semua manusia
Andaikan
Dia tidak memberi petunjuk jalanmu
Nescaya kau
akan tersesat sekali pun langit ada di sana"
Ketiga
Belas: Peringatan Agar Membersihkan Diri
Al-Quran
telah memperingatkan untuk membersihkan diri dari pujian dan sanjungan ke atas
dirinya, sebagaimana firmanNya:
"Dia
lebih mengetahui tentang (keadaan) kamu, ketika Dia menjadikan kamu dari tanah
dan ketika kamu masih dalam janin perut ibumu. Maka janganlah kamu mengatakan
diri kamu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang
bertaqwa."
(an-Najm: 32)
Allah
mencela orang-orang Yahudi dan Nasrani yang menganggap dirinya suci. Firman-Nya
yang bermaksud:
"Apakah
kamu tidak memerhatikan orang yang menganggap dirinya bersih? Sebenarnya Allah
membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mereka tidak dianiaya sedikit
pun."
(an-Nisa: 49)
Hal ini
terjadi kerana mereka berkata, seperti yang dijelaskan Allah yang bermaksud:
"Kami
ini adalah anak-anak Allah dan kekasih-kekasih-Nya." (al-Maidah: 18)
Perkataan
mereka ini disanggah dengan firman-Nya yang bermaksud:
"Tetapi
kamu adalah manusia (biasa) di antara orang-orang yang diciptakan-Nya. Dia
mengampuni sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyeksa siapa yang
dikehendaki-Nya. Dan, kepunyaan Allah-lah kerajaan di antara keduanya, dan
kepada Allah-lah kembali (segala sesuatu)." (al-Maidah: 18)
Orang yang
telah melakukan sesuatu amal shaleh, tidak boleh mempamerkan amalnya itu,
kecuali jika untuk menyampaikan nikmat Rabb-Nya:
"Dan
terhadap nikmat Rabb-mu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (dengan
bersyukur)."
(ad-Dhuha: 11)
Selain itu
ia bertujuan untuk memancing orang lain agar mengikutinya. Sabda Baginda yang
bermaksud:
"Barangsiapa
membuat sunnah yang baik, maka dia mendapat pahala sunnah itu dan pahala orang
yang mengerjakannya."
(HR Imam Muslim)
Dibolehkan
juga jika bertujuan untuk membela diri kerana ada tuduhan yang dilemparkan
kepadanya, padahal dia tidak bersangkut-paut dengan tuduhan tersebut, atau
mungkin ada sebab-sebab lain. Semua itu diperbolehkan bagi orang yang batinnya
sudah kuat kerana Allah semata dan bukan kerana tujuan yang bukan-bukan serta
tidak tergolong pada ujub, tidak bertujuan mencari sanjungan dari orang lain
dan mendapatkan kedudukan di kalangan masyarakat. Namun memang jarang orang
yang bebas dari tujuan ini.
Orang Islam
harus waspada, jangan sampai ujub terhadap diri sendiri, kerana kebaikan dan
keshalihan yang dilakukannya, atau keyakinan bahawa hanya dialah yang beruntung
sedang yang lain merugi, atau dia dan jamaahnyalah yang layak disebut al-firqah
an-najiyyah (golongan yang selamat) sedangkan semua kaum Muslimin rosak,
atau hanya merekalah yang layak disebut thaifah manshurah (kelompok yang
mendapat pertolongan) sedangkan yang lain dibiarkan.
Pandangan
terhadap diri sendiri seperti ini adalah ujub yang merosak, dan pandangan
terhadap orang-orang Islam sepertt itu adalah pelecehan yang menghinakan.
Dalam
sebuah hadith shahih disebutkan: "Jika seseorang berkata ‘Manusia telah
rosak’, maka dialah yang lebih rosak daripada mereka." (HR Imam
Muslim)
Hadith ini
diriwayatkan dengan bacaan ‘ahlakuhum’, dengan pengertian bahawa justeru
dialah yang lebih banyak dan lebih cepat menimbulkan kerosakan, kerana dia
terpedaya oleh diri sendiri, congkak terhadap amalannya dan melecehkan orang
lain. Dengan bacaan dan makna seperti ini, bererti dialah yang menyebabkan kerosakan
mereka, kerana dia berasa lebih unggul dari mereka dan juga membuatkan mereka
berputus asa terhadap rahmat Allah.
Al-Imam
an-Nawawi r.a. berkata, "Larangan ini ditujukan kepada orang-orang yang
berkata seperti itu, kerana ujub terhadap diri sendiri, mengecilkan orang lain
dan berasa dirinya lebih unggul dari mereka. Ini adalah perbuatan yang
diharamkan. Tetapi jika perkataan seperti itu disampaikan kerana memang ada
kekurangan dalam pengamalan agama mereka atau kerana rasa prihatin terhadap
situasi mereka dan juga situasi agama mereka, maka hal itu tidak apa-apa.
Inilah yang ditafsir dan dihuraikan oleh para ulama, seperti yang dikatakan
oleh Malik bin Anas, al-Khattabi, al-Humaidi dan lain-lainnya.
Dalam
hadith lain disebutkan, yang bermaksud:
"Cukuplah
seseorang disebut buruk jika dia mencela saudara Muslimnya." (HR Imam Muslim)
Sebab di
antara orang Islam atas orang Islam lainnya adalah dilarang menzalimi,
menghinakan dan melecehkannya. Tidak mungkin seseorang mencela saudaranya
sendiri, sedangkan mereka ibarat dua cabang yg melekat di satu pohon yg sama.
Melalui Ustaz Mujiburrahman Ahmad Hafiz
No comments:
Post a Comment