Tuesday 4 October 2011

BENARKAH HAWA MEMUJUK ADAM MEMAKAN BUAH KHULDI ? Muhammad Hanief Awang Yahaya



Allah s.w.t. menempatkan Nabi Adam dan isterinya di dalam syurga sebelum mereka berdua dihantar ke dunia ini. Di tempat yang indah itu, Allah s.w.t. menghalalkan kepada mereka berdua makanan-makanan kecuali buah dari satu pohon. Tipu daya Iblis menyebabkan mereka berdua memakannya lalu bermulalah kehidupan manusia di dunia ini.

Umum tersebar bahawa Hawa telah memujuk Adam memakan buah tersebut. Hal ini disebutkan oleh Ibn Hajar al-`Asqalani ketika menghuraikan hadis berikut:

 عن أبي هريرة رضي الله عنه، عن النبي صلى الله عليه وسلم : ولولا حواء لم تخن أنثى زوجها.

Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah s.a.w.: “Dan kalaulah tidak kerana Hawa, perempuan tidak akan mengkhianati suaminya.”

Kata Hafiz Ibn Hajar: “Di dalam hadis ini terdapat isyarat bahawa peristiwa yang berlaku kerana Hawa memberi gambaran yang indah tentang pokok itu kepada Adam lalu berlakulah apa yang telah berlaku. Makna khianat Hawa ialah dia telah menerima pujukan Iblis lalu memujuk Adam pula. Oleh kerana Hawa ibu kepada sekalian wanita dan paling serupa dengan Hawa dari segi melahirkan anak, maka hampir tidak seorang wanitapun yang terselamat dari menderhaka kepada suaminya sama ada dengan ucapan atau perbuatan. (Fath al-Bari, jil. 6 hal. 515)

Dalam menjelaskan maksud hadis ini, Hafiz ibn Hajar tidak merujuk kepada mana-mana riwayat hadis atau pendapat sahabat. Penjelasan beliau bukanlah sesuatu yang dapat difikirkan dengan aqal semata-semata. Dengan kata lain, penjelasan ini bukan  berdasarkan kepada ijtihad tetapi pasti bersumberkan mana-mana riwayat. Tentu sekali beliau mempunyai sumbernya yang tersendiri. Apabila beliau tidak menunjukkan mana-mana riwayat hadis, tentu sekali sumbernya ialah riwayat Israiliyyat. Kalau diandaikan adanya riwayat maka riwayat itu tidak sahih kerana bercanggah dengan fakta-fakta al-Quran.

Dengan merujuk kepada al-Quran segala kepalsuan dan kepalsuan riwayat tersebut akan terdedah. Allah s.w.t. berfirman:

فَوَسْوَسَ لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا مِنْ سَوْآَتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَاكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ إِلَّا أَنْ تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ الْخَالِدِينَ

Lalu syaitan menghasut mereka berdua (memakan buah pokok larangan) dengan tujuan untuk mendedahkan aurat mereka yang selama ini terlindung dari mereka, lalu ia berkata: Tuhan kamu tidak melarang kamu mendekati pokok ini melainkan supaya kamu tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi dari kalangan mereka yang hidup kekal abadi. (al-A`raf: 20)

Dalam ayat ini jelas bahawa syaitan yang menghasut Adam dan Hawa bukan syaitan menghasut Hawa kemudian Hawa menghasut Adam pula. Dalam surah Taha, ayat 120, penafian bahawa Hawa tidak memujuk Adam lebih jelas lagi:

فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ الشَّيْطَانُ قَالَ يَا آَدَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَى شَجَرَةِ الْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَا يَبْلَى

Lalu syaitan membisikkan fikiran yang jahat kepadanya dengan katanya: Wahai Adam! Mahukah aku tunjukkan kepadamu pokok hidup kekal dan kerajaan yang tidak akan musnah? (Taha: 120)

Syaitan, bukannya Hawa,  yang menghasut Nabi Adam dengan menimbulkan waswas dan memberi sumpah yang palsu.

وَقَاسَمَهُمَا إِنِّي لَكُمَا لَمِنَ النَّاصِحِينَ . فَدَلَّاهُمَا بِغُرُورٍ فَلَمَّا ذَاقَا الشَّجَرَةَ بَدَتْ لَهُمَا سَوْآَتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ الْجَنَّةِ وَنَادَاهُمَا رَبُّهُمَا أَلَمْ أَنْهَكُمَا عَنْ تِلْكُمَا الشَّجَرَةِ وَأَقُلْ لَكُمَا إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمَا عَدُوٌّ مُبِينٌ

Dan dia (syaitan) bersumpah kepada mereka berdua: Sesungguhnya saya termasuk dalam kalangan orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua. Maka syaitan membujuk keduanya (untuk memakan buah itu) dengan tipu daya. Tatkala keduanya telah merasai buah tersebut nampaklah bagi mereka berdua aurat masing-masing dan mereka berdua mulai menutupinya dengan daun-daun syurga. Kemudian Tuhan menyeru mereka berdua: Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu dan Aku  katakan kepada kamu berdua, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu berdua. (al-A`raf: 21-22)


Allah s.w.t menegur Adam kerana lupa kepada janji bukan kerana menerima pujukan Hawa dan Hawa pula tidak ditegur oleh Allah kerana kesalahannya mengkhianati suaminya.

Al-Sabuni menukilkan daripada Tafsir al-Tabari dan Tafsir Ibn Kathir bahawa Ibn Abbas berkata: “Syaitan memperdayakan mereka berdua dengan sumpah. Adam menyangka bahawa tidak seorangpun berani berdusta dalam bersumpah dengan nama Allah lalu syaitan memperdayakan mereka berdua dengan sumpahnya.” (Safwah al-Tafasir, jil. 1 hal. 439)



Bagaimana penafsiran hadis al-Bukhari yang menyabitkan Hawa mengkhianati Adam?

Berlaku tashif dalam meriwayatkan hadis ini iaitu kesilapan dalam hurf خ yang sepatutnya huruf ح. Tashif ialah pengubahan perkataan di dalam hadis.

عن أبي هريرة رضي الله عنه، عن النبي صلى الله عليه وسلم: ولولا حواء لم تحن أنثى زوجها).

Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah s.a.w: “Dan kalaulah tidak kerana Hawa, perempuan tidak akan merindui suaminya.”

Meriwayatkan hadis ini dengan huruf ح lebih tepat dan lebih sesuai dengan fitrah kejadian kaum wanita. Sifat rindu dan setia kepada suami terdapat pada setiap wanita tanpa mengira agama dan bangsa.

Menisbahkan setiap khianat yang dilakukan oleh wanita kepada Hawa adalah sesuatu yang tidak adil dan bercanggah dengan akal yang sejahtera dan fitrah yang suci.

Apabila kita mengenepikan nas-nas al-Quran dengan menerima riwayat Israiliyyat dan menafsirkan hadis berdasarkan Israiliyyat, maka kita telah merendahkan kedudukan wanita. Seolah-olah merekalah punca kerosakan dan dosa orang lain. Sedangkan satu jiwa tidak sekali-kali menanggung dosa orang lain. Dari satu sudut pula, riwayat ini menyerupai konsep dosa warisan yang menjadi doktrin agama Kristian iaitu setiap jiwa tidak bersih dan Nabi Isa yang telah menebus dirinya untuk menyucikannya. (Al-Mawsu`ah al-Muyassarah Fi al-Adyan wa al-Mazahib al-Mu`asarah, hal. 504)


Sumber Dari Ustaz Mujiburahman Ahmad Hafiz


No comments: